PETALING JAYA: Golongan muda berharap kerajaan dapat memulihkan ekonomi negara dengan lebih pantas, sekali gus menambah peluang pekerjaan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat pada tahun 2024
Eksekutif Pengiklanan dan Pemasaran, Dayana Ghafur, 25 berkata, dia berharap agar kerajaan dapat menambah inisiatif bagi golongan sepertinya seperti program kesejahteraan sosial khusus.
Katanya, program ini bertujuan membantu golongan tua seperti pesara agar dapat meningkatkan ekonomi kehidupan selepas menamatkan pekerjaan terutama bagi yang berisiko.
“Inisiatif untuk orang tua yang dah pencen seperti bantuan dan sebagainya. Jadi, nanti tiada yang akan buat grab untuk raih pendapatan,” katanya.
Dalam pada itu, seorang pekerja sektor swasta, Naveen Kumar, 27 berkata, kerajaan perlu mengambil pendekatan proaktif dan holistik dalam melaksanakan dasar-dasar ekonomi pasca-pandemik.
Katanya, hal ini termasuk langkah-langkah yang dapat mencipta peluang pekerjaan dan memperkuat pertumbuhan ekonomi negara.
“Keberhasilan pemulihan ekonomi bergantung kepada keberkesanan langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan bagi menangani masalah yang dihadapi oleh rakyat khususnya melibatkan kos sara hidup.
“Diharapkan pihak kerajaan akan menyusun dan melaksanakan program-program latihan dan pembangunan kemahiran yang bersifat holistik sejajar dengan keperluan pasaran pekerjaan moden,” katanya.
Selain itu, pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang ingin dikenali sebagai Nona, 23 berkata, dia berharap kerajaan dapat memberikan penekanan yang lebih serius kepada pembangunan sektor inovasi dan teknologi.
Katanya, inisiatif untuk mendorong penyelidikan dan pembangunan serta memberi sokongan kepada usahawan muda adalah penting untuk memacu pertumbuhan ekonomi pada era digital ini.
“Saya berharap agar pelajar-pelajar seperti saya dapat melibatkan diri dalam ekosistem inovasi yang berkembang, mencipta solusi kreatif dan mengambil bahagian dalam transformasi digital negara.
“Dengan berlakunya transformasi ekonomi yang positif, saya percaya bahawa Malaysia dapat bersaing di persada antarabangsa dan memberikan masa depan yang lebih cerah kepada generasi muda,” katanya. – UTUSAN










