Tabung Haji dalam proses akhir muktamad senarai jemaah

Tabung Haji dalam proses akhir muktamad senarai jemaah

Syed Saleh Syed Abdul Rahman bersama wakil daripada agensi umrah dan haji pada sidang akhbar Karnival Haji, Umrah & Pelancongan di Kuala Lumpur semalam. -UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) kini dalam proses akhir untuk memuktamadkan senarai jemaah haji bagi musim 1445H/2024.

Pengarah Eksekutif Haji Tabung Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, surat tawaran haji akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

“Kita akan umumkan apabila sudah keluar surat tawaran,” katanya dalam sidang akhbar pelancaran Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan 2024 di sini semalam.

Mengulas mengenai kenaikan kos, beliau berkata, kos haji meningkat setiap tahun disebabkan oleh kerana pelbagai aspek terutamanya dipengaruhi inflasi, cukai nilai tambah (VAT), pergerakan mata awang asing antara ringgit Malaysia dengan saudi riyal dan dolar Amerika Syarikat.

Bayaran haji bagi musim haji 1444H/2023 untuk jemaah haji Muassasah berjumlah RM10,980 bagi holongan B40; RM15,980 (M40) dan RM30,850 (T20).

Sementara itu Syed Saleh berkata, sebanyak 25 syarikat pelancongan tempatan yang mendapat lesen Pengelola Jemaah Haji (PJH) bagi musim haji 1445H/2024 akan mengambil bahagian dalam karnival haji selama tiga hari di Movenpick Hotel and Convention Centre (MHCC), Sepang bermula Jumaat ini.

Katanya, karnival anjuran Tabung Haji dengan kerjasama Persatuan Pengendalian Pelancongan Bumiputera (Bumitra) itu menyasarkan kehadiran 10,000 orang pengunjung.

“Karnival ini serampang dua mata, ia sebagai satu usaha mempromosikan pakej-pakej haji dan menggalakkan PJH mengadakan promosi pakej umrah dan pelancongan,” ujarnya.

Beliau berkata, karnival itu juga merupakan usaha Tabung Haji dan Bumitra untuk memberi penerangan kepada orang ramai berhubung penipuan pakej haji dan jemaah terkandas.

Selain daripada tawaran pakej haji, umrah dan pelancongan, pelbagai aktiviti menarik turut disediakan buat para pengunjung antaranya program simulasi haji untuk kanak-kanak, persembahan daripada artis nasyid terkenal, program bual bicara dan kuiz.

Ia termasuk cabutan bertuah khusus untuk para pengunjung dengan tawaran hadiah yang lumayan termasuklah pakej menunaikan umrah. – UTUSAN

Habis

Syed Saleh Syed Abdul Rahman (dua, kiri) bersama Presiden Bumitra Malaysia, Harun K.C. Ahmmu, Setiausaha Agung Bumitra Malaysia, Abdul Rahman Mohd. Ali (kanan) dan Ketua Bahagian Agensi Tabung Haji, Anuar Ahmad (kiri) pada sidang akhbar Karnival Haji, Umrah & Pelancongan di Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/SYAKIR RADIN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya