Syarikat 'Pasir Berdengung' edar ganja guna Telegram, kurier tumpas  - Utusan Malaysia

Syarikat ‘Pasir Berdengung’ edar ganja guna Telegram, kurier tumpas 

Ganja
MOHD. Iqbal Ibrahim (tengah) menunjukkan rampasan dadah jenis ganja pada sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah Shah Alam di Shah Alam, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: ‘Sepandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga’, demikian perumpamaan yang sesuai terhadap tindakan licik sebuah sindiket pengedaran ganja menggunakan aplikasi Telegram dan perkhidmatan kurier tumpas selepas digempur polis, Ahad lalu.

Sindiket yang menubuhkan syarikat ‘Pasir Berdengung’ itu berurusan dengan pelanggan tetap mereka menerusi aplikasi berkenaan sebelum membuat pengeposan menerusi perkhidmatan kurier.

Helah itu bagaimanapun terbongkar dengan penahanan empat lelaki termasuk dalangnya yang berusia 31 dan 32 tahun di sebuah kondominium di Glenmarie di sini, kira-kira pukul 6.40 petang.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, serbuan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) itu hasil risikan pihaknya mengenai aktiviti pengedaran dadah.

Menurutnya, keempat-empat suspek tempatan itu didapati berada di dalam sebuah rumah di kondominium tersebut.

“Hasil pemeriksaan membawa kepada penemuan ganja seberat 6.53 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM20,243. Selain itu, polis menyita dua kereta dan dua motosikal bagi tindakan lanjut,” katanya pada sidang akhbar, hari ini.

Menurut Mohd. Iqbal, siasatan awal mendapati kondominium itu disewa sindiket bagi pembungkusan ganja mengikut pesanan pelanggan menerusi Telegram.

“Dadah yang dijual antara 100 gram hingga 1 kg itu kemudian akan dipos menerusi perkhidmatan kurier. Kesemua ganja yang dipesan menerusi grup Telegram sulit itu dipercayai diedarkan kepada pelanggan di sekitar Lembah Klang,” ujarnya.

Tambah beliau, ujian saringan air kencing semua suspek didapati positif ganja dan seorang daripada memiliki rekod jenayah lampau.

“Mereka kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Polis turut sedang menyiasat sumber bekalan dadah itu termasuk memeriksa jenis perniagaan yang dijalankan syarikat sindiket tersebut,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya