PETALING JAYA : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyiasat penglibatan individu tertentu dalam kerajaan berhubung dakwaan rasuah bagi mendapatkan perolehan membekal dan mengurus fleet kenderaan kerajaan Malaysia bernilai RM4.5 billion.
Memberitahu Utusan Malaysia, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan SPRM ketika ini akan menumpukan bagaimana pemberian perolehan kontrak kerajaan itu kepada syarikat yang disiasat.
Kata beliau, perolehan berkenaan dikatakan telah diberikan kepada syarikat berkenaan sejak 2000.
“Jadi, kita (SPRM) akan melihat semula kontrak-kontrak yang diberikan daripada tahun berkenaan bagi melihat sama ada terdapat perlakukan rasuah dalam perolehan itu,” katanya di sini semalam.
Pada 19 Januari lalu, Utusan Malaysia mendedahkan kediaman seorang ahli perniagaan bergelar Tan Sri diserbu SPRM bagi siasatan berhubung dakwaan rasuah itu.
Kehadiran pegawai SPRM di kediaman ahli perniagaan yang terletak di ibu negara itu dipercayai dilakukan pada pukul 10 pagi.
Turut diserbu, empat syarikat termasuk salah satu daripadanya merupakan syarikat pembekal kenderaan kerajaan yang telah dihadiri pegawai SPRM bagi mendapatkan dokumen-dokumen berkaitan.
Tiga lagi syarikat yang diserbu merupakan entiti yang melaksanakan pelaburan membabitkan kewangan milik Tan Sri itu.
Kehadiran pegawai SPRM di semua lokasi termasuk kediaman milik Tan Sri berkenaan adalah bagi memperoleh dokumen berkaitan kewangan yang boleh membantu siasatan.
Dokumen itu diambil SPRM bagi penelitian lanjut bagi melihat sama ada terdapat perlakukan rasuah dalam perolehan kontrak kerajaan.
Lapor Utusan Malaysia, Tan Sri berkenaan merupakan pemegang saham individu tertinggi di dalam syarikat pembekal kenderaan kerajaan itu.
Susulan siasatan dilakukan SPRM, lebih 100 akaun persendirian dan syarikat yang di bawah kawalannya diperolehi SPRM bagi semakan lanjut namun tiada pembekuan akaun dibuat.
Utusan Malaysia difahamkan, tindakan yang diambil SPRM ini adalah kesinambungan kepada siasatan yang dilakukan suruhanjaya ini sejak Julai tahun lalu lagi.
Siasatan dilakukan bawah Seksyen 17A Akta SPRM 2009.
Pada Julai tahun lalu, seorang taikun perniagaan mendedahkan dirinya telah menyaman kerajaan Malaysia atas isu penamatan LOI yang ditawarkan kepada dua syarikat selepas seorang pemimpin mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada Mac 2020.
Beliau turut mendedahkan bahawa kontrak yang diberikan kepada syarikat pembekal kenderaan kerajaan yang dilantik adalah RM700 juta lebih tinggi.
Rentetan itu, pelbagai pihak tampil membuat laporan menggesa SPRM melakukan siasatan terhadap dakwaan dan pendedahan ahli perniagaan itu. – UTUSAN










