Sesi persekolahan 2024 di Kelantan, Johor lancar

Sesi persekolahan 2024 di Kelantan, Johor lancar

MAT Lazim Mohammad (tengah) ketika membuat pemantauan di SMK Rantau Panjang, Kelantan. - UTUSAN/ROHANA ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RANTAU PANJANG: Sesi persekolahan di dua negeri semalam berjalan lancar apabila 595 buah sekolah di Kelantan termasuk yang terjejas banjir dan 1,193 di Johor beroperasi seperti biasa.

Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pengurusan Sekolah Negeri Kelantan, Mat Lazim Mohammad berkata, pada masa sama pihaknya turut membuat pemantauan di beberapa buah sekolah yang terkesan dengan bencana itu.

“Kita fokus kepada daerah Tumpat dan Pasir Mas yang terjejas banjir, Alhamdullilah semua dapat beroperasi dengan baik,” katanya ditemui pemberita ketika pemantauan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau Panjang, di sini semalam.

Sementara itu, pelajar di SMK Rantau Panjang berharap sekolahnya tidak ditenggelami banjir sekali lagi sekiranya ada banjir gelombang ke empat.

Hal ini kerana SMK Rantau Panjang tiga kali ditenggelami air banjir tahun ini.

Seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Che Sofea Che Faizul, 17, berkata, dia berharap tiada lagi gelombang banjir keempat akan berlaku sepanjang menduduki peperiksaan itu bermula 8 Januari ini.

Katanya, dia sudah bersiap sedia untuk menduduki peperiksaan SPM tersebut.

Seorang lagi pelajar, Pirayuth Prawing, 20, berkata, dia akan memanfaatkan setiap masa terluang dengan mengulang kaji pelajaran sebagai persiapan menghadapi Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) pada 22 Januari ini.

Katanya, hal ini kerana sepanjang banjir melanda dia tidak dapat mengulang kaji kerana terpaksa menyelamatkan barangan di dalam rumah daripada ditenggelami air.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Johor, Norliza Noh berkata, semua sekolah beroperasi seperti biasa walaupun terdapat beberapa kawasan masih dilanda banjir termenung.

Menurut Norliza, pihaknya tidak menerima sebarang maklumat melibatkan 908 sekolah kebangsaan dan 285 sekolah menengah yang dinaiki air setakat ini.

“Sebahagian kawasan yang terjejas akibat banjir, antaranya di Segamat menjadikan balai raya sebagai pusat penempatan sementara (PPS).

“Jadi, tiada sekolah di negeri ini yang dijadikan PPS ketika ini dan mengganggu sesi persekolahan semalam.

“Guru-guru atau pelajar yang mengalami masalah berkenaan banjir diminta memaklumkan situasi mereka kepada pihak pengurusan sekolah,” katanya ketika ditemui selepas meninjau PPS di Balai Raya Kampung Batu Badak, di sini semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×