Selangor bakal wujud makmal kultur tisu tumbuhan - Utusan Malaysia

Selangor bakal wujud makmal kultur tisu tumbuhan

Kultur
RIZAM Ismail melihat pembangunan penyelidikan kultur tisu Selangor Melon di Pejabat ADUN Sungai Air Tawar, Sabak Bernam, Selangor hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SABAK BERNAM: Kerajaan Selangor akan mewujudkan sebuah makmal penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi penghasilan kultur tisu tumbuhan terutama klon pisang dan Melon Selangor di Bagan Nakhoda Omar, di sini.

Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna negeri, Datuk Rizam Ismail berkata, makmal itu bakal menjadi sumber rujukan petani dalam mempelajari penghasilan klon tumbuhan berkualiti dan berhasil tinggi.

Jelas beliau, inisiatif baharu itu diyakini bukan saja dapat membantu petani di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Air Tawar malah di seluruh negeri ini.

“Makmal penyelidikan ini merupakan yang pertama dibangunkan di daerah Sabak Bernam.

“Jika mendapat sambutan baik, saya yakin ia dapat melahirkan lebih ramai petani moden terutama golongan muda menceburi teknik pembiakan kultur tisu,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, hari ini.

Rizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar berkata, penghasilan kultur tisu itu mampu menghasilkan benih berkualiti kerana dapat mengeluarkan lebih banyak anak benih daripada satu induk sama.

“Kultur tisu merupakan teknik pembiakan mikro membabitkan proses memisahkan sekelompok tisu yang kecil (eksplan) daripada tumbuhan.

“Kaedah asas penghasilan anak benih menggunakan sel tisu itu bermula dengan pemilihan induk benih terpilih yang memiliki potensi dan ciri agronomik selain bebas perosak serta penyakit,” ujarnya.

Tambah beliau, projek itu kelak turut melibatkan kerjasama Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universitas Islam Negeri Sunan Gunung Djati (UIN SGD), Indonesia.

“Saya akan memohon peruntukan daripada Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) bagi pelaksanaan projek pembangunan itu yang turut meliputi projek dalam Pembangunan Kawasan Sabak Bernam (SABDA).

“Teknologi itu membawa perubahan besar dan manfaat kepada usahawan tani kerana anak benih berkenaan memiliki kualiti yang lebih baik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya