SHAH ALAM: Gambaran awal kenaikan gaji kakitangan awam melalui kajian semula Skim Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) didakwa menjadi faktor kepada peningkatan pelaburan asing masuk ke negara ini berjumlah RM329.5 bilion pada tahun lalu.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, kemasukan pelaburan dalam jumlah tersebut membolehkan kerajaan menghargai usaha keras penjawat awam bagi memastikan Malaysia sentiasa menjadi tumpuan syarikat luar negara melabur atau mengembangkan perniagaan mereka di sini.
“Dengan kejayaan itu, saya merasakan kenaikan lebih 13 peratus (gaji kakitangan awam) adalah setimpal dengan usaha yang mereka lakukan, iaitu sebagai pemudah cara dan penyampai maklumat untuk kerajaan kepada rakyat Malaysia.
“Justeru itu, saya harap tiada pihak yang iri hati dengan kenaikan gaji yang diterima penjawat awam,” katanya semasa berucap pada sambutan Hari Pekerja Cuepacs, hari ini.
Utusan Malaysia semalam melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kenaikan gaji lebih 13 peratus bagi 1.6 juta orang penjawat awam di seluruh negara.
Kenaikan tersebut dibuat selepas kali terakhir ia dinaikkan dibuat kira-kira 12 tahun lalu.
Dalam pada itu Steven Sim memberitahu, kerajaan sentiasa mempercayai kebolehan dan kemampuan penjawat awam dalam melaksanakan tugas mentadbir serta perkhidmatan untuk rakyat Malaysia.
“Misalnya, pada 100 hari pertama saya berada dalam Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), saya menubuhkan satu badan pemikir yang dianggotai penjawat awam daripada pelbagai jabatan dan agensi dalam kementerian tersebut bagi membincangkan dasar kementerian yang boleh ditambah baik.
“Yang membanggakan adalah penjawat awam dalam kesemua jabatan dan agensi dapat memberikan maklum balas berhubung dasar yang boleh ditambah baik. Ia sekali gus dapat menjimatkan kos kementerian daripada mengupah konsultan swasta,” ujarnya. – UTUSAN










