Sanusi minta henti ‘tekan’ Kedah

Sanusi minta henti ‘tekan’ Kedah

MUHAMMAD SANUSI MD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor meminta pihak tertentu yang didakwanya mengetuai Kerajaan Persekutuan supaya berhenti memberi tekanan kepada Kedah.

Beliau sebaliknya berharap menerima lebih banyak kerjasama daripada agensi pusat dalam menarik pelaburan ke negeri itu berbanding menggembar-gemburkan isu seperti bekalan air dan elektrik.

“Saya berterima kasih kepada agensi persekutuan yang menghulurkan khidmat bantuan untuk memudahkan lebih banyak pelabur ke Kedah. Saya menyeru lebih banyak kerjasama sedemikian kerana jika Kedah membangun, faedahnya turut dirasai (Kerajaan) Persekutuan.

“Hentikanlah sebarang tekanan, picitan, tenyehan atau apa-apa yang berkaitan terutamanya dalam membangkitkan isu-isu utiliti seperti air dan elektrik yang sengaja digembar-gemburkan.

“Hal ini patut diberi tumpuan kerana ekonomi sepatutnya merentasi parti dan kepentingan politik,” katanya ketika berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Bina Darulaman Berhad (BDB) dengan Shanghai Youzhu Industry Co. Ltd. (Shanghai Youzhu) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, sektor ekonomi sepatutnya diberi ruang seluas-luasnya untuk berkembang bagi membawa kesejahteraan kepada rakyat.

Selain itu katanya, semua pihak perlu memastikan agar pelabur yang datang ke negara ini tidak menerima impak buruk, kesan daripada kepentingan politik sempit golongan tertentu.

“Ini permintaan khusus saya kepada para pemain politik picisan yang mengambil kesempatan daripada isu tertentu dalam dunia politik, dan mengheretnya ke sektor ekonomi.  

“Golongan ini perlu belajar lebih banyak dan mendalam kerana peluang yang ada terlalu besar untuk dilepaskan dan masa bergerak pantas. Sekali kita lepaskan peluang-peluang yang hadir, maka peluang itu akan pergi ke tempat lain,” katanya.

Tambahnya, setiap sengketa politik sempit wajar dilupakan dengan keutamaan perlu diberi kepada pembangunan sosio ekonomi agar taraf hidup rakyat dapat dibangunkan.

“Kepada rakyat Kedah, saya beri komitmen dan janji untuk meninggalkan semua kepentingan aktiviti politik demi memberi keselesaan kepada semua orang yang datang ke sini, tanpa perbezaan warna dan layanan adil.

“Ini merupakan tekad dan azam Kedah di bawah pentadbiran saya, untuk kita lihat kebangkitan negeri ini menjadi The Greater Kedah,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN