RCI kaji kes Pulau Batu Puteh hanya sia-sia?

RCI kaji kes Pulau Batu Puteh hanya sia-sia?

Pulau Batu Puteh
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi mengkaji pengendalian berkaitan kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan hanya sia-sia.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, penyelidik Asian Institute Of International Affairs and Diplomacy (AHAD), Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Mohd. Hazmi Mohd. Rusli berkata, langkah itu sia-sia kerana Batu Puteh sudah menjadi milik Singapura.

“Malaysia sebagai anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) perlu menghormati kedaulatan dan keutuhan wilayah negara-negara lain, sebagaimana kita menginginkan negara-negara lain melakukan perkara yang sama,” katanya.

Semalam, kerajaan memutuskan untuk menubuhkan RCI bagi mengkaji pengendalian hal berkaitan kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

Ketua Setiausaha Negara merangkap Setiausaha Jemaah Menteri, Tan Sri Mohd. Zuki Ali dilaporkan berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat jemaah menteri semalam.

Sebelum ini, Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan adalah tiga pulau kecil antara Johor dan Singapura, yang menjadi pertikaian antara kedua-dua negara.

Bagaimanapun, pada 2008, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan Pulau Batu Puteh adalah milik Singapura manakala Batuan Tengah milik Malaysia.

Mengulas lanjut, Hazmi berkata, sekiranya RCI ditubuhkan semata-mata untuk mencari kesalahan pentadbiran lama yang menarik balik rayuan berkaitan pemilikan kawasan berkenaan di ICJ pada 2018 maka usaha yang dilakukan adalah membuang masa.

“Semakan boleh dilakukan sekiranya terdapat bukti-bukti baharu yang boleh menyanggah keputusan yang telah dibuat.

“Namun, semakan ini hanya dapat dilakukan dalam tempoh 10 tahun selepas keputusan dibuat ICJ. Apabila permohonan semakan ini ditarik balik pada tahun 2018, kita sudah boleh mengucapkan selamat tinggal kepada Batu Puteh,” kata beliau.

Dalam pada itu, Ketua Kluster Politik, Undang-undang dan Pengurusan Awam, Majlis Profesor Negara, Prof. Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod berkata, jika Malaysia ingin meneruskan dengan siasatan, fokus yang boleh diutamakan ialah isu apa yang timbul semasa siasatan lepas sehingga negara tidak mahu membuat semakan.

“Isu-isu yang berbangkit daripada keputusan yang lalu oleh ICJ khususnya tuntutan terhadap Pulau Batu Puteh. Walaupun ia telah diputuskan, saya rasa rakyat juga ingin tahu apa yang berlaku di sebalik kes tuntutan tersebut,” jelasnya.

Kata beliau lagi, isu persempadanan laut juga perlu menjadi fokus utama yang terkait dengan tuntutan Batu Puteh bagi mengelak pencerobohan sempadan.

“Sebagai contoh, ia penting untuk nelayan kita menangkap ikan khususnya apabila isu Batu Putih telah diputuskan, di manakah sempadan laut untuk mengelakkan nelayan kita menceroboh sempadan Singapura,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN