Rakyat Johor yakin kepimpinan Sultan Ibrahim terajui negara

Rakyat Johor yakin kepimpinan Sultan Ibrahim terajui negara

Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar menaiki takhta Yang di-Pertuan Agong Ke-17 hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kemakmuran dan kestabilan negara menjadi harapan utama rakyat apabila Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menerajui negara sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-17 bagi tempoh lima tahun berkuat kuasa hari ini.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, rata-rata rakyat Johor juga menyambut baik pelantikan Yang di-Pertuan Agong baharu itu dan berasa bangga, gembira serta mendoakan kesejahteraan baginda.

Petugas di sebuah syarikat media, Amirah Ismail, 34, berkata, beliau mengharapkan kemakmuran dan kestabilan negara dengan perubahan itu.

“Harapan saya adalah semoga kemakmuran yang dikecapi di Johor, dari segi kestabilannya akan terpancar ke peringkat Persekutuan dan Sultan Johor menjadi yang terbaik di antara yang terbaik,” ujarnya.

Selain itu, kakitangan Pejabat Kadi Daerah Muar, Badrul Ammar Azman, 25, berkata, harapannya adalah untuk melihat Malaysia kembali menjadi “Harimau Asia” dalam segmen ekonomi dan lapangan industri digital yang semakin meluas.

“Saya juga mengharapkan Malaysia dihormati dari sudut pendirian negara terhadap isu-isu seluruh dunia di bawah naungan, hikmah, ketegasan serta kewibawaan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar,” katanya.

Dalam pada itu, Pegawai Perhubungan Awam, Raden Mohammad Azwan Naharuddin, 32, berharap dengan pelantikan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong akan memberi kestabilan berterusan dalam membangunkan Malaysia khususnya dari aspek politik yang dilihat sering kali mewujudkan ketidakstabilan dalam negara.

“Saya yakin kebijaksanaan dan keprihatinan Sultan Ibrahim dalam memimpin negeri Johor selama ini akan memberi impak positif kepada setiap aspek di peringkat negara pula,” katanya.

Mengulas isu sama, seorang pelajar universiti tempatan, Zeti Fatin Dania Mahmod, 22, berkata, diharapkan Sultan Johor dapat memperluaskan manfaat atau bantuan yang dinikmati bangsa Johor kepada seluruh rakyat Malaysia agar setiap rakyat menerima serta memahami kebaikan institusi Diraja Johor. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN