PETALING JAYA: Tindakan sebuah pusat hiburan berselindung di sebalik premis perniagaan di dalam bangunan setinggi 27 tingkat dengan menawarkan khidmat pelayan pelanggan (GRO) warga asing terbongkar selepas premis itu diserbu polis semalam.
Menerusi operasi berkenaan, seramai 32 orang pegawai kanan dan anggota polis dari D7, Bukit Aman telah menahan 20 wanita warga asing bekerja sebagai GRO.
Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dalam satu kenyataan berkata, premis berkenaan dikawal ahli kongsi gelap bagi memastikan hanya pelanggan terpilih dapat memasukinya.
Katanya, pelanggan perlu membeli selempang bermula harga RM50 hingga RM500 bagi melanggan wanita warga asing terlibat.
“Dalam operasi itu, seramai 16 orang warga asing dan tempatan yang berfungsi sebagai pengurus, penjaga kaunter, penjual kalungan bunga, pemain muzik dan juga ibu ayam dengan panggilan ‘Mummy’ ditahan.
“Selain itu, seorang lelaki warga tempatan yang berperanan sebagai ejen GRO turut diberkas,” katanya.
Mengulas lanjut, katanya, dalam serbuan sama, pihak polis turut menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan kerana disyaki menjadi ahli pertubuhan yang diwartakan haram mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966.
“Pusat hiburan berkenaan berselindung di sebalik premis perniagaan, pusat hiburan yang berkonsepkan Open Pub dan berada di dalam bangunan setinggi 27 tingkat itu dikawal oleh ‘bouncer’ yang juga ahli kongsi gelap bagi memastikan hanya pelanggan terpilih yang akan memasuki premis itu.
“Kesemua tangkapan dan rampasan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya untuk tindakan lanjut,” jelasnya.
Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63, Peraturan Imigresen 1963 dan Undang-Undang Kecil Perlesenan Tred Perniagaan Dan Perindustrian Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). – UTUSAN










