Promosi kumpul dana dan tenaga, Fazley Yaakob bantu usaha buka klinik di Palestin - Utusan Malaysia

Promosi kumpul dana dan tenaga, Fazley Yaakob bantu usaha buka klinik di Palestin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob bakal bersama-sama pusat perubatan, He Medical Clinic mengumpul dana dan tenaga bagi merealisasikan hasrat membuka klinik kesihatan bagi membantu rakyat Palestin yang memerlukan.

Fazley yang juga duta kepada He Medical Clinic berkata, keperlukan perubatan amat diperlukan oleh rakyat Palestin yang semua sedia maklum sedang berdepan dengan krisis pergolakan yang kritikal.

Malah, kongsi Fazley lagi, pusat perubatan yang memfokuskan kepada kesihatan lelaki itu juga bakal membuka klinik kesihatan am yang bakal menolong mereka yang ketika ini sangat-sangat memerlukan bantuan perubatan.

“Ini satu usaha kemanusiaan yang saya fikir penting dan amat diperlukan. Biarpun He Medical Clinic lebih fokus kepada kesihatan lelaki, tetapi di Palestin mereka bakal membuka klinik perubatan yang menyeluruh.

“Tidak hanya mengumpul dana, malah mereka yang mahu mengembleng tenaga secara sukarela juga diperlukan untuk kita sama-sama membantu rakyat Palestin yang ditindas rejim Zionis.

“Kita harus menyokong langkah dinamik ini terutama ketika sahabat kita di sana sedang kritikal menunggu perubatan. Saya akan gunakan media sosial dan bantuan dari sahabat terdekat untuk sama-sama menyokong usaha ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, He Medical Clinic dalam satu perkongsian turut menerima kunjungan Independent Palestenian Doctors Association (IPDA) yang bakal sama -sama membantu membina klinik perubatan di lokasi terpilih di Palestin.

Dalam satu kenyataan, pusat perubatan itu turut memaklumkan IPDA mencari dana untuk membuka klinik perubatan di Palestin lebih- lebih lagi di kawasan pedalaman dan menyediakan perkhidmatan kesihatan yang lebih luas dan menyeluruh.

“Mereka berhasrat untuk memperkayakan pengetahuan doktor-doktor mereka dari pelbagai bidang, dengan penekanan khusus pada kesihatan lelaki.

“Dalam pada masa sama, mereka juga berhasrat untuk mendapatkan dana bagi membantu atau mencari penajaan untuk pelajar-pelajar perubatan yang ingin melanjutkan pengajian mereka di Malaysia.

“Malah, mereka memohon sokongan kewangan untuk membolehkan mereka merawat pesakit di Palestin, dengan sasaran sekurang-kurangnya 10 pesakit setiap bulan. Sokongan ini amat penting untuk memastikan akses kepada penjagaan kesihatan yang berkualiti di kawasan tersebut,” ujar kenyataan itu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN