PRN Sabah: Bersatu bergerak solo?

PRN Sabah: Bersatu bergerak solo?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Ketika beberapa parti di Sabah mula berbincang soal kerjasama menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah masih belum memutuskan untuk bergerak solo mahupun membentuk kerjasama.

Biarpun sebelum ini, Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee ada menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) namun, belum ada sebarang perbincangan rasmi dibuat di peringkat pimpinan parti.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Bersatu Sabah, Abdul Kadir Damsal berkata, setakat ini, Bersatu Sabah mahu bergerak solo bagi memberi ruang kepada pengundi untuk membuat pilihan dan mengundi parti yang diyakini mampu memperjuangkan nasib dan hak rakyat Sabah.

“Ronald tidak pernah beritahu sama ada sudah ada perbincangan dengan GRS atau tidak tapi setakat ini, kita mahu bergerak solo.

“Kita yakin sokongan rakyat terhadap Bersatu masih kuat kerana mereka ingat sumbagan yang diberikan Abah (Tan Sri Muhyiddin Yassin) semasa rakyat berhadapan kesukaran ketika pandemik Covid-19,” katanya.

Menurutnya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) berasal daripada Bersatu. Sekiranya Bersatu dan Gagasan Rakyat berlawan sesama sendiri, keadaan itu menguntungkan Parti Warisan (Warisan) dan UMNO.

Jadi, Gagasan Rakyat jangan terlalu sombong dan menolak bulat-bulat hasrat Ronald untuk bekerjasama kerana GRS sendiri belum pernah bertanding pada PRN Sabah.

Mengulas lanjut katanya, sokongan terhadap Bersatu semakin bertambah dan mereka yakin Bersatu boleh bangkit semula pada PRN Sabah yang akan datang.

“Rakyat semakin jemu dengan parti-parti sedia ada yang pemimpinnya sudah terlalu lama dalam arena politik tapi, masalah dihadapi di Sabah masih sama. Sekarang rakyat mahu lihat pembaharuan iaitu gabungan muka-muka baharu dengan pemimpin yang berpengalaman dan mampu menerajui negeri Sabah.

“Saya yakin kalau Bersatu bersiap sedia dengan jentera pilihan raya yang kuat, saya yakin kitab oleh mengugat dan memberi saingan kepada parti-parti lain pada pilihan raya akan datang,” katanya.

Abdul Kadir berkata, sentimen parti tempatan dan ‘Sabah for Sabahan’ adalah slogan lapuk. Berdasarkan fakta dan sejarah tidak dapat dinafikan bahawa parti-parti lokal tidak boleh bertahan.

Jangan menghukum parti persekutuan jika pemimpin yang terdiri daripada orang Sabah sendiri gagal dalam melaksana tugas untuk membangunkan dan memajukan negeri ini seperti yang berlaku semasa zaman pemerintahan UMNO di Sabah.

“Siapa Ketua Menteri Sabah dahulu semasa zaman UMNO? Apa yang mereka buat?,” katanya.

Jelas beliau, menjelang PRN Sabah mungkin poster boy Bersatu ialah Muhyiddin. Presiden Bersatu itu cukup berpengalaman dan mahir dengan politik Sabah.

Pada PRN 2020, Bersatu memenangi 11 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan sebelum kesemua ADUN Bersatu Sabah keluar daripada parti pada 10 Disember 2022.

Kesemua ADUN Bersatu itu kemudiannya menyertai Gagasan Rakyat yang dilancarkan pada Mac 2023 dan diterajui oleh Datuk Seri Hajiji Noor. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN