KOTA BHARU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan merekodkan kutipan sebanyak RM205,290 menerusi lelongan awam melibatkan 102 kenderaan di pejabatnya di Panji, di sini hari ini.
Pengarahnya, Mohd. Misuari Abdullah berkata, jumlah tersebut melibatkan sebanyak 67 buah kenderaan boleh dilesen dan 35 buah kenderaan tidak boleh dilesenkan.
Katanya, kenderaan yang dilelong terdiri daripada 25 buah kereta, 74 buah motosikal dan tiga buah lori.
“Jenis yang dilelong antaranya Volkswagen Beetle, Mini Cooper, Proton Saga dan Mercedez Benz. Bagi motosikal pula, lelongan itu melibatkan Modenas Kriss, Yamaha 135LC dan Honda EX5 .
“Kenderaan yang mendapat bidaan tertinggi iaitu sebuah lori jenis Hino FSIK yang dibida pada harga RM51,000 manakala harga terendah yang dibida ialah motosikal Modenas Kriss yang dilelong RM250,” katanya dalam sidang akhbar selepas Lelongan Awam Kenderaan Sita Siri 1/2025 di JPJ Kelantan di Panji di sini hari ini.
Mohd. Misuari berkata, proses pelupusan kenderaan sita secara lelongan awam itu merupakan sebahagian daripada proses pengurusan aset yang telah disita atas pelbagai kesalahan di bawah peruntukan Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Akta Perkhidmatan Awam Darat 2010. – UTUSAN








