Perlu RM1.8 bilion ganti 1,000 km paip uzur

Perlis perlu RM1.8 bilion ganti 1,000 km paip uzur

PERLIS memerlukan kira-kira RM1.8 bilion bagi menyelesaikan isu perkhidmatan air antaranya bagi menggantikan paip-paip uzur berusia hampir 50 tahun serta beberapa penambahbaikan lain.- UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Perlis memerlukan kira-kira RM1.8 bilion bagi menyelesaikan isu perkhidmatan air termasuk menggantikan 1,000 ki­lome­ter paip uzur berusia hampir 50 tahun serta beberapa penambahbaikan lain.

Pada masa ini, Syarikat Air Perlis (SAP) sudah menggantikan kira-kira 900 kilometer jaringan paip uzur yang menyalurkan air bersih kepada penduduk negeri ini.

Bagi menyelesaikan isu air tersebut secara keseluruhan, ia dianggarkan mengambil masa antara 10 ke 15 tahun.

Paip-paip air uzur tersebut juga dikenal pasti sebagai punca kepada peningkatan kadar air tak berhasil (NRW) di Perlis ketika ini, dengan kadarnya masih yang tertinggi di Malaysia iaitu sebanyak 65 peratus.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan dan Prasarana negeri, Izizam Ibrahim berkata, kerajaan negeri akan memberi fokus dan lebih tumpuan terhadap kualiti perkhidmatan bekalan air di negeri ini.

Katanya, pada tahun ini, kerajaan negeri telah memohon geran sebanyak RM250 juta yang jika disalurkan dalam masa terdekat berkemungkinan boleh membantu menyelesaikan masalah air khususnya di kawasan-kawasan yang teruk seperti Kuala Perlis, Chuping dan sebagainya.

“Kita masih memakai sistem lama sejak 30 ke 40 tahun lalu yang menyukarkan kita mengesan paip-paip rosak ini. Kita tidak ada sistem khas yang boleh mengesan kerosakan tersebut, sekarang pakai ‘manual’ sahaja dan jika nak kesan kena dengar betul-betul.

“Penggunaan paip-paip ini sepatutnya dalam tempoh 20 ke 25 tahun sahaja dan semua (paip) ada sekarang sudah hampir 50 tahun.

“Bagi menyelesaikan masalah itu, kita perlukan peruntukan RM1.8 bilion. Sekarang kita buat fasa demi fasa dan jika dapat geran RM250 juta yang dalam proses tersebut, kita boleh selesai bukan semua tetapi tertumpu di tempat-tempat yang kritikal,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Tambah Izizam, peningkatan kadar tarif air menerusi pelarasan dilaksanakan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bermula Februari ini sedikit sebanyak membantu dalam menambah baik infrastruktur perkhidmatan bekalan air buat pengguna.

Malah katanya, kerajaan negeri menerusi SAP sebelum ini terpaksa menanggung kerugian sekitar RM5 ke RM6 juta setahun disebabkan oleh permasalahan perkhidmatan air yang sering kali membelenggu pengguna di negeri ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN