Perjanjian jual air terawat ke Pulau Pinang tidak boleh dilaksanakan tahun ini - Utusan Malaysia

Perjanjian jual air terawat ke Pulau Pinang tidak boleh dilaksanakan tahun ini

SAARANI Mohamad berucap pada Perhimpunan Penjawat Awam Negeri Perak di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Perjanjian bagi membekalkan air terawat ke Pulau Pinang melalui Projek Skim Pemindahan Air dari Sungai Perak (SPRWTS), dijangka tidak akan dapat dilaksanakan pada tahun ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ini berikutan banyak prosedur yang perlu dilakukan termasuk mendapatkan peruntukan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam bagi pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) di daerah Kerian.

Katanya, tanpa kelulusan peruntukan daripada kementerian berkaitan, tiada perjanjian yang boleh dibuat antara dua negeri terlibat.

“Ada banyak proses yang perlu dilalui, jadi tidak mungkin buat (perjanjian) dalam tempoh setahun ini.

“Kalau ikut kehendak kita, lagi cepat lagi bagus tapi saya jangka tahun ini belum lagi dapat dilaksanakan kerana ia melibatkan pembangunan dan pembinaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Penjawat Awam Negeri Perak 2024 di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini hari ini.

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan dan Hal Ehwal Masyarakat India negeri, A. Sivanesan; Pegawai Kewangan Negeri Perak, Datuk Mohd. Zaki Mahyudin dan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Dr. Adnan Mat.

Mengulas lanjut Saarani memberitahu, perjumpaan antara dua jawatankuasa bersama dengan kementerian tersebut telah pun dibuat pada November lalu.

“Mesyuarat kali pertama telah dibuat di sini di mana jawatankuasa bersama yang ditubuhkan kedua-dua kerajaan negeri bersetuju untuk pergi ke kementerian berkaitan bagi memohon peruntukan.

“Apabila sudah ada keputusan daripada kementerian, barulah kita boleh buat perjanjian. Kalau kita buat perjanjian sekarang pun, berdasarkan apa kerana tarif air dan harga akan ditentukan kementerian.

“Itu sebab saya katakan tadi, bergantung kepada sejauh mana keberkesanan jawatankuasa kedua-dua negeri ini dapat menyakinkan kementerian berkenaan untuk meluluskan peruntukan bagi kita melaksanakan pembinaan LRA,” ujar beliau.

Sementara itu, ditanya mengenai permintaan Pulau Pinang yang mahu penggunaan 700 juta liter air sehari, Saarani menjelaskan, ia bergantung kepada kecukupan keperluan domestik.

“Walaupun pada asasnya kita bersetuju untuk menjual air terawat kepada Pulau Pinang tetapi ia tetap tertakluk kepada kecukupan domestik. Kalau keperluan kita pun tidak cukup, macam mana mahu jual pada orang lain,” katanya.

Menerusi laporan media semalam, kerajaan Pulau Pinang mahu proses menandatangani perjanjian dengan Perak dilaksanakan dalam masa terdekat bagi tujuan pembekalan air.

Harapan itu disuarakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow susulan gangguan bekalan air berjadual selama empat hari kepada kira-kira 590,000 penduduk disebabkan kerja pembaikan di LRA Sungai Dua bermula 10 hingga 14 Januari depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN