SUNGAI PETANI: Peredaran masa hampir dua dekad menjadi ‘ubat’ yang semakin memulihkan perasan takut dan trauma penduduk di sekitar Kuala Muda, di sini yang terkesan dengan tragedi tsunami meragut 11 nyawa pada 26 Disember 2004.
Mereka kini meneruskan kelangsungan hidup seperti biasa apatah lagi sebahagian besar mangsa yang terlibat dalam bencana pada pukul 1.45 petang itu sudah meninggal dunia.
Lebih 100 keluarga dari Kampung Kepala Jalan, Kampung Masjid dan Kampung Keda di pesisir pantai Kota Kuala Muda yang musnah akibat tragedi tersebut ditempatkan di Taman Permatang Katong.

Pemasangan siren amaran tsunami juga memberi keyakinan kepada mereka untuk berdepan dan lebih bersedia dengan amukan ombak besar itu.
Bekas Pengerusi Penempatan Tsunami, Yusuf Awang, 60, berkata, kejadian yang berlaku hampir 20 tahun lalu itu tidak mungkin terlalu mudah dipadam dalam memori penduduk terutama yang kehilangan ahli keluarga.
Bagaimanapun, katanya, penduduk kini boleh dikatakan tidak lagi trauma atau takut dengan peristiwa tersebut meskipun tidak ada jaminan bahawa kejadian sama tidak boleh berulang.
“Berbanding awal-awal dahulu memang kami semua hidup dalam ketakutan, setiap kali melihat awan gelap dan ombak yang tidak seperti kebiasaan, hati terdetik apakah akan berlaku tsunami lagi di kawasan kami?
“Tetapi setelah beberapa tahun, rata-rata penduduk kini sudah kembali menjalani kehidupan seperti biasa sama sebelum berlaku tsunami dahulu,” katanya.

Yusuf berkata, walaupun tragedi itu meninggalkan memori pahit kepada mereka, impak tsunami itu turut memberi ‘kelebihan’ kepada penduduk sekitar ekoran limpahan ekonomi hasil kedatangan pelancong.
“Ramai penduduk dapat berniaga secara kecil-kecilan kerana tidak jauh daripada perkampungan ini juga terletaknya Pasar Bisik Kuala Muda yang turut terkenal dengan aktiviti jual beli hasil lautnya,” katanya.
Walaupun sudah dua dekad tragedi itu berlaku, Kedah khususnya Kota Kuala Muda dan Pulau Langkawi masih berisiko untuk dilanda tsunami.
Ini disebabkan kedudukan geografi kawasan berkenaan yang berdekatan dengan kawasan sebelah Barat Sumatera yang merupakan kawasan aktif berlakunya gempa bumi.
Pada 26 Disember 2004, kesan tsunami akibat gempa bumi di Lautan Hindi-Barat Laut Sumatera itu menyaksikan Kuala Muda mencatat ketinggian ombak setinggi 3.9 meter dengan masa ketibaan empat jam 32 minit.
Tsunami yang terhasil ekoran gempa bumi berukuran sehingga 9.3 skala ritcher itu melanda 14 negara termasuk Malaysia dengan 11 kematian direkodkan di Kedah termasuk seorang warga emas di Langkawi.
Di Kota Kuala Muda, sembilan daripada mangsa terkorban adalah wanita termasuk bayi perempuan berusia 11 bulan selain seorang lelaki berusia 54 tahun.
Justeru, buat masa ini terdapat lapan stesen seismologi di negeri ini yang berupaya mengesan kejadian gempa bumi dan lapan siren tsunami yang berfungsi untuk memberikan amaran awal sekiranya terdapat kemungkinan berlaku tsunami.
Satu daripada stesen itu ditempatkan di Kota Kuala Muda manakala selebihnya di Tanjung Dawai, Kuala Kedah dan lima di Langkawi yang sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada penduduk sekiranya berlaku gempa.
Infografik
JUMLAH DAN ANGGARAN NILAI KEMUSNAHAN/KEROSAKAN
* Motosikal : 507 buah (RM1.52 juta)
* Basikal: 315 buah (RM10,000)
* Kereta/van/lori dan lain-lain: 194 buah (RM4.14 juta)
* Rumah
* Pindah: 477 buah
*Rosak: 398 buah
* Musnah: 113 buah
* Bot nelayan: 438 buah
* Peralatan: RM4.32 juta
* Jeti: RM40,000
* Padi: 52.3 hektar (RM160,000)
– MINGGUAN










