KUALA LUMPUR: Percutian keluarga bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sekitar 2009 di atas kapal persiaran bertukar menjadi lokasi perbincangan usahasama diplomatik antara kerajaan (G2G) sehingga mengakibatkan Malaysia terpaksa menanggung kerugian.
Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nur Aida Arifin berkata, perbincangan itu juga tidak dihadiri oleh mana-mana pegawai tinggi kerajaan dan tidak melalui saluran perbincangan yang sah serta rasmi.
“Perjumpaan percutian keluarga Datuk Seri Najib yang seterusnya bertukar kepada perbincangan usahasama diplomatik tidak melalui saluran perbincangan yang sah dan formal sehingga menyebabkan kerugian besar kepada negara.
“Perbincangan tersebut juga tidak melibatkan pegawai tinggi kerajaan sedangkan kerajaan terpaksa menanggung pinjaman dana dengan pengeluaran jaminan penuh kerajaan kepada pinjaman tersebut.
“Datuk Seri Najib sebagai Perdana Menteri sepatutnya tahu bahawa perbincangan usahasama G2G aras tertinggi seperti ini memerlukan saluran diplomatik yang sah dan bukannya berpunca daripada perbincangan tidak rasmi di atas kapal persiaran sahaja,” kata saksi pendakwaan ke-49 itu ketika membaca penyataan saksinya.
Pada perbicaraan sebelum ini, saksi pendakwaan kesembilan, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dalam keterangannya menyatakan bahawa projek usahasama antara 1MDB dengan PSI dicetus dan dibincangkan semasa Najib bercuti di South France di atas sebuah kapal layar bersama Putera Turki Abdullah pada Ogos 2009.
Bekas Pegawai Khas Najib, Datuk Wan Ahmad Shihab Ismail Wan Ismail pula ketika memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan ke-16 menyatakan, ketika bercuti di Selatan Perancis di atas sebuah kapal mewah, Najib dan keluarga telah dijemput oleh Putera Saudi, iaitu Putera Turki berada di sebuah kapal lain yang berdekatan untuk minum petang.
Dalam pertemuan tersebut, Najib disambut oleh Putera Turki dan seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Tarek Obaid (Ketua Pegawai Eksekutif PetroSaudi International Ltd) dan beliau diminta oleh Najib untuk mengambil gambar mereka di ruang tamu kapal berkenaan.
Tambahnya, ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low telah dilihat berada di ruang tamu tersebut dan dipercayai telah tiba di kapal berkenaan sebelum rombongan Najib dan keluarganya tiba.
Selain itu, Nur Aida berkata, bekas Ahli Parlimen Pekan itu turut menggunakan Jho Low dan Shahrol Azral untuk mempengaruhi Lembaga Pengarah (BOD) 1MDB melalui bekas Pengerusi 1MDB, Tan Sri Mohd Bakke Salleh untuk mengikut arahannya.
“Datuk Seri Najib telah menggunakan Jho Low dan Datuk Shahrol Azral untuk memaksa BOD melalui Tan Sri Bakke supaya mengikut arahan dan juga saranan mereka dalam beberapa tindakan dan keputusan berkaitan dengan usahasama dengan PSI.
“Alasan yang selalu diberikan adalah menjaga hubungan G2G yang dijalin antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Arab Saudi. Atas alasan ini, banyak keputusan dan kelulusan yang dibuat tidak menyebelahi 1MDB dan Kerajaan Malaysia,” kata pegawai SPRM itu.
Tambahnya, pelantikan Edward L. Morse sebagai penilai aset PSI diragukan kerana laporan Penilaian Aset PSI disediakan hanya dalam masa lapan hari sedangkan sedangkan nilai aset yang dinilai adalah sangat besar iaitu lebih kurang AS$2.7 bilion hingga AS$4.5 billion.
“Malahan, Datuk Seri Najib telah mengarahkan Datuk Shahrol Azral untuk tidak perlu membuat penilaian ke atas aset PSI dengan alasan ingin menjaga nama baik bilateral Malaysia dan Arab Saudi dari segi politik dan reputasi,” ujar Nur Aida.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung 8 Januari ini. – UTUSAN










