Perak mahu semua 1.8 juta penduduk layak mendaftar PADU - Utusan Malaysia

Perak mahu semua 1.8 juta penduduk layak mendaftar PADU

MOHD. Azlan Helmi (kanan) membantu seorang wanita mendaftar dalam Pangkalan Data Utama menerusi komputer di Pusat Ekonomi Digital di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kerajaan Perak mahu memastikan semua penduduk di negeri ini yang berkelayakan supaya mendaftar Pangkalan Data Utama (PADU).

Dianggarkan, 1.8 juta jumlah penduduk berusia lebih 18 tahun di negeri itu layak mengisi sistem tersebut yang dilancar dan dikendalikan oleh Kementerian Ekonomi bermula bulan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO Perak, Mohd. Azlan Helmi berkata, kerajaan negeri akan melaksanakan pelbagai langkah bagi mempromosi serta menerangkan PADU selain menyediakan kemudahan untuk rakyat mengisi sistem tersebut.

Malah katanya, Perak akan menyediakan kemudahan pengisian menerusi komputer yang ditempatkan di 70 buah Pusat Ekonomi Digital (PEDi) dalam negeri itu, selain menempatkan kakitangan pembantu di tempat tersebut.

Beliau berharap penduduk Perak segera mengisi sistem tersebut dan tidak menunggu sehingga saat akhir, kerana khuatir rangkaian atau PEDi akan sesak apabila menghampiri tarikh tutup 31 Mac 2024.

“Saya juga akan melakukan sesi taklimat kepada semua dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam masa terdekat supaya semua ADUN maklum tentang perkara ini dan membantu di kawasan masing-masing.

“Saya juga sarankan kepada masyarakat supaya berhati-hati dengan scammer (penipuan). Jangan perjaya kepada perkongsian pautan pihak tertentu. Kalau ada kemusykilan, sila rujuk ke PEDi atau rujuk pihak agensi kerajaan negeri dan Pusat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir ke PEDi Tambun, sebagai simbolik usaha yang akan dilaksanakan oleh kerajaan Perak di sini hari ini.

Terdapat 70 PEDi di Perak iaitu daerah Selama (4), Larut (6), Hilir Perak (6), Kuala Kangsar (5), Batang Padang (9), Bagan Datuk (6), Hulu Perak (7), Kampar (1), Kerian (6), Kinta (6), Manjung (4), Muallim (5) dan Perak Tengah (5).

Katanya sehingga kini, lebih 45,000 pendaftaran dibuat penduduk Perak dan mengharapkan usaha berlipat ganda setiap minggu mampu memastikan kesemua 1.8 juta penduduk Perak mengisi PADU.

Mohd. Azlan juga berkata, PEDi akan dibuka setiap hari bagi menjayakan usaha mendaftarkan penduduk di negeri itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya