Pengarah urusan resort runtuh didenda RM150,000 - Utusan Malaysia

Pengarah urusan resort runtuh didenda RM150,000

LEE Boon Han (kanan) keluar dari Mahkamah Sesyen Besut di Besut, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT: Pengarah Urusan Syarikat Male Beach Resort Sdn. Bhd. di Pulau Perhentian di sini didenda RM150,000 oleh Mahkamah Sesyen Besut di sini atas kesalahan gagal memastikan keselamatan bangunan semasa pembinaan sehingga menyebabkan kematian dua pekerja warga asing pada November tahun lalu.

Tertuduh, Lee Boon Han, 55, membuat pengakuan bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fadhli Mahmud di Mahkamah Sesyen Besut, di sini, hari ini.

Beliau juga mengarahkan agar tertuduh dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Boon Han didakwa mengikut Seksyen 34B (1) (c) Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia 1994 yang memperuntukkan denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Kesalahan itu dilakukan pada antara pukul 1 pagi hingga 5 pagi pada 9 November tahun lalu berkenaan didakwa telah menyebabkan keseluruhan bangunan dewan makan tiga tingkat berkenaan runtuh lalu menghempap tujuh pekerja.

Dua buruh binaan yang terbunuh dalam kejadian itu ialah Supamo dan Fathul Munir yang merupakan warga Indonesia.

Mengikut pertuduhan, Boon Han yang berasal dari Tropicana Indah, Petaling Jaya, Selangor didakwa gagal memastikan keselamatan bangunan semasa pembinaan dan menyebabkan kematian dua pekerja asing itu.

Boon Han didapati telah melanggar kewajipan sebagai kontraktor untuk memastikan keselamatan bangunan serta kerja pembinaan semasa pembinaan bangunan resort tersebut.

Tertuduh juga telah mendirikan bangunan dengan mengguna pakai lukisan konsep yang disediakan oleh pelukis bebas yang tidak boleh digunakan di dalam projek pembinaan dan tidak mempunyai perakuan daripada perunding bertauliah.

Selain itu, Boon Han turut membina bangunan utama tanpa mendapatkan kelulusan pembinaan dan kebenaran merancang daripada Majlis Daerah Besut (MDB) serta tidak melaksanakan siasatan tanah di tapak pembinaan bangunan.

Dalam pada itu, tertuduh juga gagal
menyediakan laporan kesan alam sekitar (EIA) bagi projek bangunan yang dibina dan mengambil penyelia tapak yang tidak kompeten selain mengambil pekerja tidak mahir yang tidak memiliki apa-apa perakuan kemahiran dan akreditasi daripada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB)
sebagai pekerja binaan.

Kegagalan tersebut mengakibatkan keseluruhan bangunan tiga tingkat yang sedang dalam proses pembinaan tersebut runtuh dan menghempap tujuh pekerja di dalam bangunan hingga menyebabkan kematian dua orang pekerja.

Kes dikendalikan oleh Ketua Pendakwa CIDB, Abdul Razak Husin dan tertuduh dikendalikan Hayder Yazid.

Sementara itu. Hayder yang mewakili Boon Han memohon hukuman yang dikenakan kepada anak guamnya diberikan diringan kerana pengakuan bersalah itu telah menjimatkan masa mahkamah dan kesalahan tersebut merupakan kesalahan pertamanya.

“Boon Han turut mengambil tanggungjawab menanggung kos rawatan lima mangsa yang cedera serta kos penghantaran pulang jenazah Suparo dan Fathul Munir ke Indonesia dengan jumlah keseluruhannya RM44,300,” katanya.

Pada 9 November tahun lalu, media melaporkan sebuah bangunan restoran di sebuah resort di Pulau Perhentian di Besut tiba-tiba runtuh pada pukul 4.30 pagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya