PETALING JAYA: Tindakan pembaharuan yang dilakukan Kerajaan Perpaduan pada hari ini disifatkan perlahan malah dilihat hanya memfokuskan isu memerangi rasuah.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Pengerusi Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih 2.0), Datuk Ambiga Sreenevasan berkata, beberapa isu lain juga penting perlu menjadi keutamaan dan perhatian termasuk hal berkaitan dengan hak asasi seperti kebebasan bersuara.
“Akta Hasutan masih wujud dan kita terkejut ia masih digunakan. Begitu juga Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
“Walaupun saya percaya mereka (kerajaan) harus diberi sedikit masa lagi untuk beberapa pembaharuan, saya tidak mendengar ada rancangan sebenar untuk pembaharuan bergerak ke hadapan.
Sebaliknya banyak cakap mengenai menangani rasuah tetapi kita tidak melihat sebarang baik pulih yang jelas,” katanya di sini semalam.
Sebelum ini, kerajaan pada 2019 melalui Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching menjelaskan yang pihaknya sedang mengkaji dan memperkemaskan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 untuk memastikan skop dan penggunaannya tidak memberi ruang untuk disalahgunakan.
Ia berikutan terdapat beberapa pihak yang menyatakan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 sebagai bermasalah dan sering digunakan untuk tujuan politik.
Bagaimanapun, jelas Ambiga, tiada sebarang perubahan yang dibuat mengenai perkara itu.
Mengulas lanjut, Ambiga turut berkata, antara isu lain yang turut tidak menjadi perhatian kerajaan pada hari ini ialah rombakan terhadap institusi badan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) seperti yang terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.
“Kita tidak melihat sebarang rombakan bermakna terhadap badan SPRM itu sendiri mahupun berkaitan dengan akauntabiliti jika institusi tersebut perlu diletakkan di bawah Parlimen,” ujarnya.
Dalam manifesto PH, semua pelantikan pesuruhjaya SPRM, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Jawatankuasa Pelantikan Kehakiman yang sedang dilaksanakan mengikut budi bicara Perdana Menteri, perlu diluluskan Parlimen.
SPR juga akan diletakkan di bawah kuasa parlimen sementara SPRM akan dinaik taraf kepada suruhanjaya penuh yang diiktiraf oleh Perlembagaan Persekutuan.
Begitu juga, SPRM juga akan bertanggungjawab kepada Parlimen.
Ambiga berkata, antara isu lain yang turut ‘mengecewakan’ adalah memberikan kewarganegaraan secara automatik melalui kuat kuasa undang-undang kepada anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan pasangan bukan warganegara.
Justeru, beliau merancang untuk mendedahkan perkara ini kepada umum sebagai agenda reformasi yang perlu dibuat perubahan. – UTUSAN










