OPV1 perkukuh siap siaga Maritim Malaysia jaga perairan negara

OPV1 perkukuh siap siaga Maritim Malaysia jaga perairan negara

RUJI Ubi (duduk/ tengah) bersama barisan di hadapan kapal OPV1 itu di Limbungan TH Heavy Engineering (THHE) Pulau Indah, Klang, Selangor. -UTUSAN/ AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Kapal Peronda Luar Pesisir Pertama (OPV1) berkeupayaan menjadi kapal induk atau ‘Mothership’ bagi memperkukuhkan kesiapsiagaan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menjaga perairan negara.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Ruji Ubi berkata, kapal yang dibina dengan rekabentuk Damen 1800 berukuran 83 meter panjang dengan lebar 13.7 meter itu mampu melakukan operasi di laut dalam jangka waktu 21 hari tanpa ulang bekal.

Jelas beliau, reka bentuk itu menjadikan OPV1 berkemampuan menghadapi laut bergelora sehingga tahap Force 7.

“Kapal itu turut didatangkan bersama Radar X dan S Band bagi memastikan rondaan mampu bergerak secara meluas selain boleh menempatkan 70 anak kapal dalam satu-satu masa operasi.

“Selain itu, ia mampu melaksanakan tugas seperti bantuan kemanusian dan bencana termasuk menjadi kapal logistik, kapal pemerintah dan tempat penyimpanan peralatan pencemaran minyak,” katanya malam tadi.

Terdahulu, beliau menyempurnakan majlis penyerahan rasmi OPV1 antara TH Heavy Engineering Berhad (THHE) kepada KDN di Limbungan THHE Pulau Indah, di sini.

OPV1 yang mampu mencapai kelajuan 21 knot mempunyai fasiliti seperti tapak pendaratan helikopter dan bilik tahanan selain dilengkapi peralatan canggih seperti Unmanned Aerial Vehicle (UAV), Meriam 30mm Smash Aselsan, dua buah bot jenis Rigid Hull Inflatable Boat (RHIB) dan Fast Interceptor Craft.

Sebelum diserahkan kepada KDN, kapal itu melalui beberapa fasa percubaan termasuk fasa ujian di laut Selat Melaka bersama aset Maritim Malaysia yang terlibat dalam Eksesais Maritim Perkasa Barat pada 28 November lalu.

Tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kerajaan menyuntik pinjaman berjumlah RM152.6 juta bagi memastikan projek Kapal OPV1 milik Maritim Malaysia disiapkan.

Projek itu diambil alih Kementerian Kewangan manakala Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) memanggil Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Maritim Malaysia bagi menuntut penjelasan mengenai kelewatan perolehan OPV.

Mengulas lanjut, kata Ruji, penyerahan OPV1 itu merupakan detik bersejarah kepada KDN kerana kapal peronda buatan tempatan ini siap dibina selepas beberapa kali penangguhan akibat pandemik Covid-19 dan proses membawa masuk peralatan teknikal terkini kapal yang diimport dari negara luar.

“Justeru, OPV1 diharap mampu membantu Maritim Malaysia memperkasakan lagi pengoperasian dalam menguatkuasakan undang-undang maritim sekali gus memastikan Zon Maritim Malaysia (ZMM) berada dalam keadaan selamat dan sejahtera,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya