Operasi bocor: Siasat siapa 'tali barut' penguat kuasa

Operasi bocor: Siasat siapa ‘tali barut’ penguat kuasa

PDRM perlu selidik siapakah dalang dalam kalangan anggota penguat kuasa bagi mengelakkan kebocoran operasi bukan sahaja membabitkan untuk menggempur PATI tetapi juga jenayah-jenayah lain.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pendedahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kebocoran maklumat berhubungi lokasi pendatang asing tanpa izin (PATI) bakal diserbu berkemungkinan didalangi anggota penguat kuasa itu sendiri.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pakar Kriminologi, Shahul Hamid Abd. Rahim berkata, kemungkinan itu disebabkan pegawai-pegawai terlibat terlalu selesa dengan jawatan selain ada yang menerima imbuhan tertentu sehingga mereka tergamak menjadi pengkhianat.

“Mereka ini sudah lama dan selesa dengan posisi mereka, jadi disebabkan itu mereka sudah tahu selok-belok, ada yang sudah menjadi kenalan dan menerima sogokan atau insentif daripada PATI untuk membocorkan maklumat,” katanya di sini semalam.

Oleh itu, menurut beliau, perkara itu perlu diselidiki PDRM bagi mengelakkan kebocoran operasi bukan sahaja membabitkan untuk menggempur PATI tetapi jenayah-jenayah lain.

Kata beliau, jika tali barut dalam penguat kuasa tidak dicantas terlebih dahulu, sampai bila-bila operasi PDRM membanteras kebanjiran warga asing atau jenayah lain tidak akan berjaya.

Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay mendedahkan, kebanyakan lokasi PATI ‘kosong’ ketika serbuan dilakukan sekali gus membuktikan terdapat kebocoran maklumat berlaku.

Justeru, Ayob berkata, pihaknya hanya akan berkongsi maklumat lokasi serbuan dengan media pada saat-saat terakhir bagi mengelak kebocoran maklumat.

Dalam pada itu, penganalisis jenayah, Kamal Affandi berkata, beliau juga percaya kemungkinan kebocoran maklumat operasi PATI berpunca daripada orang dalam itu sendiri.

“Kita tidak boleh nak pandang satu faktor sahaja, ada kemungkinan kebocoran itu berlaku disebabkan cara pengendalian sebuah operasi itu sendiri.

“Sebagai contoh, balai polis terletak di kawasan yang terbuka, jadi bila nak buat operasi mesti akan melibatkan ramai anggota, banyak kenderaan, pergerakan dan sebagainya, jadi dari situ mereka boleh buat andaian,” katanya.

Katanya, beliau turut melihat masalah kebocoran ini juga boleh berlaku disebabkan terlalu banyak campur tangan daripada unit-unit lain.

“Kalau kita lihat secara perbandingan, Komando 69 misalnya, mereka ada pergerakan tersendiri, mereka ada kenderaan sendiri jadi risiko untuk berlaku kebocoran adalah sangat rendah,” katanya.

Pada 21 Disember lalu, polis Pasukan Gerakan Am (PGA) memulakan operasi bersepadu besar-besaran bagi menggempur mini Dhaka di Jalan Silang di sini bagi membanteras isu kebanjiran warga asing di ibu negara.

Dalam operasi itu, sebanyak 60 premis perniagaan turut diserbu dipercayai menggaji warga asing.

Operasi bermula 11 pagi itu disertai oleh seramai 1,138 pegawai dan anggota dari Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) melibatkan Bridged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan Unit Anjing Pengesan (K9). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN