Nelayan kejar enam PATI mendarat di Kuala Dulang Kechil

Nelayan kejar enam PATI mendarat di Kuala Dulang Kechil

PIHAK berkuasa dibantu KRT dan nelayan mengawasi enam PATI yang ditahan selepas mendarat di Kuala Dulang Kechil, Yan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YAN: Enam pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar tidak sempat mencari pekerjaan di negara ini selepas dicekup sekumpulan nelayan ketika mendarat di Kuala Dulang Kechil, di sini awal pagi tadi.

Mereka yang terdiri daripada dua lelaki dan empat perempuan berusia antara 15 hingga 33 tahun dikejar nelayan sejauh hampir 200 meter.

Mereka sebelum itu dikesan mendarat di pintu kuala menggunakan sebuah bot gentian berukuran sembilan meter panjang.

Seorang nelayan, Zafri Aiman Jalmen, 23, berkata, dia menyedari sesuatu yang tidak kena apabila melihat sebuah bot menghampiri kawasan pintu kuala sewaktu hendak ke laut kira-kira pukul 4.30 pagi tadi.

“Biasanya pada waktu itu, hanya bot nelayan yang keluar ke laut akan kelihatan dan bukan bot memasuki kuala menyebabkan saya dan rakan terpanggil untuk melihatnya dari dekat.

“Saya kemudian terkejut apabila melihat sekumpulan orang menggalas beg pakaian turun dari bot berkenaan dan berjalan di atas batu penghadang ombak ke kawasan lapang di sini,” katanya ketika ditemui di Kuala Dulang Kechil, di sini hari ini.

ZAFRI Aiman Jalmen (kiri) bersama seorang nelayan menunjukkan lokasi enam PATI warga Myanmar mendarat di Kuala Dulang Kechil, Yan.

Menurut Zafri, dia kemudian menyergah kumpulan tersebut menyebabkan kesemua mereka lari ke arah taman permainan kanak-kanak yang terdapat di situ.

“Saya terus menjerit memanggil rakan lain yang sedang membuat persiapan untuk ke laut untuk membantu menahan kumpulan warga asing tersebut.

“Akhirnya disebabkan kawasan taman kanak-kanak itu berpagar, kumpulan PATI terbabit tidak dapat meloloskan diri sebelum ditahan oleh kami,” ujarnya.

Dia yang merupakan penduduk tempatan berkata, semasa ditahan mereka sempat bertanya kepada PATI itu dan dimaklumkan kesemua mereka dibawa dari Langkawi dan terpaksa menempuh perjalanan selama lebih lima jam sebelum sampai di Kuala Dulang Kecil pagi tadi.

“Keenam-enam PATI itu mengaku memasuki negara ini dengan bantuan tekong untuk mencari pekerjaan. Mereka seterusnya diserahkan kepada Kumpulan Rukun Tetangga sebelum tangkapan semula dilakukan polis yang tiba ke lokasi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintenden Shahnaz Akhtar Haji yang dihubungi mengesahkan tangkapan dan berkata pihaknya kini menahan kesemua PATI dan melakukan  proses dokumentasi. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya