PETALING JAYA: Pihak Berkuasa Perkhidmatan Kewangan Labuan (FSA Labuan) mengumumkan pelantikan Datuk Wan Mohd Fadzmi Che Wan Othman Fadzilah sebagai pengerusinya berkuat kuasa 1 Januari 2024 untuk tempoh dua tahun.
FSA Labuan dalam kenyataan berkata, Wan Mohd Fadzmi dilantik oleh Kementerian Kewangan bagi mengantikan Datuk Siti Zainab Omar yang bersara pada Mei 2023.
Wan Mohd Fadzmi merupakan pegawai bank profesional dan mempunyai latar belakang luas dalam industri kewangan, merangkumi lebih daripada 25 tahun pengalaman dalam perbankan domestik dan antarabangsa.
Beliau memulakan kerjayanya di Melbourne, Australia sebagai Cost Estimator dengan Peter Slattery & Co pada bulan Mac 1986 dan menyertai Malayan Banking Berhad (MBB) pada 1988.
Selain itu, beliau memegang pelbagai jawatan pengurusan kanan di MBB termasuk Ketua Pegawai Eksekutif untuk operasi bank di London, New York dan Hong Kong.
Wan Mohd Fadzmi adalah bekas Ketua Pegawai Eksekutif Bank Pertanian Malaysia Berhad (Agrobank) pada Julai 2011 sehingga Ogos 2017 dan bertanggungjawab mengetuai operasi Agrobank melalui 188 cawangannya di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
“Kini, beliau memegang pelbagai jawatan pengerusi dan pengarah di institusi perbankan serta syarikat awam dan swasta.
“Antaranya adalah sebagai Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif Sumitomo Mitsui Banking Corporation (M) Berhad dan Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Zurich General Takaful Malaysia Berhad, Hap Seng Consolidated Berhad serta V.S International Group Limited,” katanya kenyataan itu di sini hari ini.-UTUSAN










