KUALA LUMPUR: Sumbangan luar biasa golongan wanita dalam pembangunan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) di sektor industri di negara ini, mendapat pengiktirafan Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MiSHA) pada majlis Anugerah Kebangsaan Kecemerlangan Prinsip Pencegahan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHPoP) 2023 di sini, malam tadi.
Pada majlis itu, bekas Ketua Pegawai Kelestarian Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia Berhad (SIRIM), Nor’afiza Saim menerima Anugerah Khas Srikandi 2023 berikutan komitmennya melaksanakan inisiatif-inisiatif OSH yang inovatif di institut tersebut.

Pengerusi OSHPoP 2023, Abd. Mutalib Abd. Gapar berkata, pengiktirafan itu bertujuan memberi penghargaan kepada wanita-wanita cemerlang dalam mewujudkan persekitaran kerja yang selamat dan sihat di sektor industri negara ini.
“Kami berbesar hati memberi anugerah ini kepada beliau atas dedikasi dan kepemimpinannya yang terbukti membawa impak positif dalam pembangunan OSH di sektor industri.
“Wanita-wanita seperti beliau memberi inspirasi kepada seluruh industri untuk menerapkan budaya keselamatan yang proaktif dah berterusan,” katanya selepas majlis itu.
Majlis berkenaan dirasmikan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Kementerian Sumber Manusia, Bahruddin Mamat dan hadir sama, Presiden MiSHA, Aziz Basiran.
Pada majlis itu, Petronas Gas Bhd. Segamat Operation Centre menerima anugerah utama iaitu Anugerah Platinum berdasarkan amalan terbaik melalui prinsip-prinsip pencegahan dan kawalan risiko di tempat kerja dalam memastikan persekitaran selamat.
Tahun ini, MiSHA memfokuskan kepada prinsip pencegahan dan kawalan risiko yang mana ia adalah selari dengan visi kerajaan melalui JKKP di dalam Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2021-2025.
Sebanyak 60 buah syarikat dikenal pasti menyertai anugerah itu tetapi hanya 30 syarikat yang melepasi kriteria penilaian untuk melangkah ke peringkat seterusnya.
Menurut Abd. Mutalib, penghargaan terhadap sumbangan Nor’afiza menunjukkan komitmen MiSHA dalam mengiktiraf usaha dan peranan wanita-wanita hebat dalam meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan di Malaysia.
“Kami percaya melalui sumbangan mereka, pembangunan OSH di negara ini terus maju dan berkembang lebih kukuh di masa depan,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, objektif penganjuran majlis berkenaan adalah memberi penghargaan kepada syarikat-syarikat terlibat bagi memperkuat lagi imej dan reputasi mereka berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan.
Katanya, majlis kali ini melibatkan kerjasama julung-julung kalinya antara MiSHA dan Universiti Teknologi Mara (UiTM). – UTUSAN