MINDEF alukan siasatan, tindakan sewajarnya diambil

‘Kartel perolehan’ TLDM: MINDEF alukan siasatan, tindakan sewajarnya diambil

MOHAMED Khaled Nordin (tengah) bergambar bersama anggota tentera selepas merasmikan Karnival Komuniti MADANI Sedili Kota Tinggi di Sekolah Kebangsaan Sedili Besar, Kota Tinggi, di sini hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Kementerian Pertahanan mengalu-alukan siasatan berhubung penahanan tiga lelaki dipercayai bertindak sebagai dalang kepada ‘kartel perolehan’ membabitkan kerja pembinaan di sebuah Kem Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bernilai lebih RM9 juta di Johor.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kementerian akan memberi kerjasama kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar siasatan tersebut dapat diselesaikan.

Katanya, apa yang berlaku diharap akan menjadi pengajaran agar setiap projek kerajaan yang telah diluluskan sampai kepada sasaran.

“Ada siasatan dibuat biarlah kita beri segala kerjasama supaya siasatan itu dapat diselesaikan dan kita harap supaya tindakan sewajarnya diambil.

“Sebagai menteri saya amat mengalukan dan akan memberi kerjasama kepada pihak SPRM.

“Saya harap perkara ini menjadi pengajaran supaya projek-projek kerajaan yang telah diluluskan benar-benar sampai ke sasaran,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Karnival Komuniti MADANI Sedili Kota Tinggi di Sekolah Kebangsaan Sedili Besar, Kota Tinggi, di sini hari ini.

Terdahulu, TLDM mengesahkan beberapa anggotanya dipanggil SPRM susulan siasatan kes ‘kartel perolehan’ membabitkan kerja pembinaan di sebuah kem miliknya di Johor.

Panglima Tentera Laut, Tan Sri Abdul Rahman Ayob berkata, mereka dipanggil untuk memberikan keterangan susulan siasatan yang dijalankan.

Menurut sumber, ketiga-tiga lelaki berusia dalam lingkungan 28 hingga 47 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Johor kira-kira 6 petang susulan kesalahan tuntutan palsu dan menjadi dalang ‘kartel perolehan’ kepada 13 syarikat pembekal yang menguruskan kerja pembinaan di kem berkenaan.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi berkata, empat poliklinik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bakal dibina iaitu di Kluang, Johor; Seberang Takir, Terengganu; Sungai Petani, Kedah dan Kuantan, Pahang akan dilaksanakan tahun ini.

Katanya, proses tender akan dibuka bagi membolehkan projek berkenaan dapat dilaksanakan.

“Tahun ini (Poliklinik) akan di bina sekarang ini tengah buat spesikasi dan akan buka untuk tender,” katanya lagi.

Mohamed Khaled sebelum ini dilaporkan berkata, beliau akan menumpukan kepada kebajikan anggota dan bekas perajurit dengan menambah baik perkhidmatan kesihatan ATM bagi tahun 2024.

Menurutnya, selain pembinaan empat poliklinik ATM, perkhidmatan kesihatan ATM akan turut dimantapkan dengan Sistem IT Kesihatan di setiap Hospital Angkatan Tentera serta Specialist Outreach Clinic dan Program Mental Health. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya