KEMAMAN: Sepasang kekasih yang disyaki membuang seorang bayi lelaki di sebuah kedai menjual ayam di Jabur Kubur, Jalan Air Putih berhampiran Chukai, dekat sini, direman selama tiga hari bermula hari ini hingga Khamis.
Perintah reman ke atas kedua-dua suspek berusia 21 dan 24 tahun itu dibenarkan Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin selepas mendapat permohonan daripada pihak polis.
Perintah reman itu bagi membolehkan pihak polis melakukan siasatan mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi.
Terdahulu, suspek wanita yang berusia 21 tahun yang sedang menerima rawatan, direman di Wad Bersalin Hospital Kemaman manakala suspek lelaki yang berusia 24 tahun yang merupakan pembantu kedai direman di Majistret Kemaman.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan sepasang kekasih yang disyaki membuang bayi ditahan secara berasingan di Kampung Jabur Kubur dan Pekan Chukai di sini pada
kira-kira pukul 11 pagi dan 3 petang
Pada Sabtu lalu, seorang bayi lelaki seberat kira-kira 3 kilogram ditemukan ditinggalkan di atas lantai sebuah kedai menjual ayam yang ditemukan seorang pemandu lori yang mahu menghantar bekalan ayam di kedai itu kira-kira pukul 7.30 pagi selepas mendengar tangisan bayi.
Bayi itu merupakan bayi kedua yang ditinggalkan di kedai itu selepas seorang bayi perempuan yang masih bertali pusat turut ditemui pada 6 Julai lalu. – UTUSAN










