MELAKA: Sebuah keluarga yang sedang dalam perjalanan dari Melaka ke Pulau Pinang mengakui, mereka hanya mampu mengucapkan kalimah syahadah ketika menyaksikan kemalangan bas terbakar di Kilometer 198 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara di sini, kelmarin.
Saksi kepada tragedi yang mengorbankan seorang pelancong dari Chennai, India, Jamaliah Md. Isa, 38, berkata, percikan api jelas kelihatan sebaik sahaja bas malang yang membawa 28 penumpang itu melanggar dan menyeret sebuah motosikal di laluan kiri lebuh raya.
Katanya, insiden berlaku terlalu pantas yang mana kereta dinaiki mereka dipandu di lorong tengah baru sahaja berselisih dengan kedua-dua kenderaan terlibat kemalangan.
“Tidak sampai beberapa saat berselisih dengan bas itu, tiba-tiba saya nampak sebuah motosikal terbabas dan kemudian dilanggar dan diseret bas berkenaan.
“Percikan api mula kelihatan dan bas terus terbakar. Apa yang boleh dilakukan ketika itu hanyalah mengucap panjang dan terus menelefon bomba bagi melaporkan kejadian,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Semalam, seorang pelancong maut apabila tubuh badannya hangus terbakar manakala tiga ahli keluarganya cedera selepas bas dinaiki mereka terlibat kemalangan lalu terbakar di Kilometer 198 PLUS arah utara.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu memaklumkan, mangsa yang maut, Yafarah Taj Fakrudin Hussaini, 17, meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan dalam kejadian kira-kira pukul 3.50 pagi.
Beliau berkata, mangsa yang cedera parah ialah Peer Mohamed Kannudeen, 69, terbakar hampir 80 peratus dan Anissa Begum Fakrudin Hussaini, 45, terbakar hampir 50 peratus manakala Mohideenmeraal Beermohamed, 69, dan seorang warga Singapura, Tasmiyah Taj, 19, cedera ringan.
Jelasnya, bas yang membawa 28 penumpang itu terbakar selepas melanggar sebuah motosikal yang terbabas sendiri lantas penunggangnya terjatuh ke laluan paling kiri. – UTUSAN










