ALOR SETAR: Tiga lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, hari ini atas pertuduhan menggunakan dokumen palsu bagi mengurangkan duti import kereta mewah berjumlah hingga RM1.6 juta di Langkawi, antara 2014 hingga 2022.
Ketiga-tiga tertuduh, Mohd. Noh Hussain, 47; Mohd. Khairol Suberi, 35, dan Fairul Ismazi Ishak, 46, masing-masing membuat pengakuan itu di atas pertuduhan pilihan yang dibacakan di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.
Mohd. Noh yang juga bekas eksekutif jualan dan operasi sebuah syarikat jualan kereta mewah di Langkawi menghadapi 12 pertuduhan, sementara Mohd. Khairol dan Fairul Ismazi pula masing-masing dua dan satu pertuduhan.
Kesemua tertuduh juga mengaku bersalah di atas pertuduhan pilihan yang dikemukakan bersama pertuduhan utama di mahkamah berkenaan.
Mohd. Noh didakwa melakukan pemalsuan dokumen untuk mengurangkan duti kereta mewah jenis Ferrari pada 21 Mei 2014 dan 1 Jun 2021 di Pejabat Kastam Daerah Langkawi.
Dia mengaku bersalah bagi dua pertuduhan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan baki 10 pertuduhan lain di atas kesalahan sama yang turut diambil pertimbangan Hakim dalam menjatuhkan hukuman di bawah Seksyen 465 Kanun Keseksaan.
Mohd. Khairol yang merupakan bekas pembantu pengurus fasiliti syarikat ejen pendaftaran, penyimpanan dan urusan tafsiran kereta mewah import pula membuat pengakuan sama bagi kesalahan pada 21 April 2021 dan 27 April 2022 di lokasi sama.
Fairul Ismazi yang juga pemilik syarikat yang menyediakan perkhidmatan sama pula didakwa menggunakan dokumen palsu bagi tujuan yang sama di lokasi sama pada 22 November 2021.
Mereka didakwa di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Fadhly Mohd. Zamry dan Mohd. Afif Ali sementara kesemua tertuduh diwakili peguam, Mohd. Hakim Hamran dan Quah Chien Chieh.
Hakim menetapkan esok bagi jatuh hukum untuk kesemua pertuduhan dan membenarkan diikat jamin sebanyak RM20,000 kepada Mohd. Noh dan masing-masing RM10,000 dan RM5,000 kepada Mohd. Khairol dan Fairul Ismazi.
Menurut fakta kes, tertuduh masing-masing menggunakan dokumen palsu dengan niat untuk mengurangkan duti import kereta mewah jenis Ferrari dengan mendaftarkan pemiliknya sebagai penduduk Langkawi walaupun mereka tidak layak mendapatkan pengecualian duti itu.
Hasil siasatan pihak Kastam Langkawi mendapati ketirisan cukai berkenaan berjumlah RM1.3 juta hingga RM1.6 juta bagi setiap kenderaan. – UTUSAN