BALING: Seorang lelaki warga emas maut manakala cucunya cedera ringan selepas motosikal yang mereka naiki melanggar sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Kuala Pegang-Parit Panjang, di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu, mangsa, Mohamad Norzizan Ismail, 61, maut di lokasi kemalangan akibat kecederaan dalaman manakala cucunya, Nur Damia Qaisara Norazlimi, 9, mengalami luka pada kepala dan badan.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Shamsudin Mamat berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu Dmax itu datang dari arah Kuala Pegang menghala ke Parit Panjang.
Katanya, penunggang motosikal pula dari Hospital Baling menghala ke Sik untuk menghantar cucunya ke Kampung Kerawai, Sik.
“Namun, sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa yang datang dari belakang tidak lepas memotong kenderaan pacuan empat roda yang membelok masuk ke sebuah stesen minyak di sebelah kanan jalan menyebabkannya terlanggar sisi kenderaan tersebut.
“Akibat kemalangan tersebut, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian dalaman badannya dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kulim untuk dibedah siasat.
“Cucunya yang merupakan pelajar Sekolah Kebangsaan Haji Hussain, Sik, pula mengalami kecederaan luka-luka di bahagian kepala dan dihantar ke Hospital Baling untuk rawatan,” ujarnya.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -UTUSAN