Lelaki kelar isteri dalam kereta akibat selisih faham - Utusan Malaysia

Lelaki kelar isteri dalam kereta akibat selisih faham

Kelar isteri
KEADAAN suspek dan kereta dipandunya dalam kejadian itu dekat Gravit8, Kota Bayu Emas, di Klang, Selangor, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Perselisihan faham menyebabkan seorang lelaki sanggup mengelar isterinya dengan pisau di dalam sebuah kereta di bahu jalan Lebuhraya Shah Alam (KESAS) berdekatan Gravit8, Kota Bayu Emas, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1 tengah hari itu, wanita berusia 49 tahun berkenaan bagaimanapun terselamat selepas berjaya melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Foong berkata, siasatan awal mendapati mangsa dan suspek berusia 50 tahun sedang menuju ke kedai makan dengan menaiki kereta Mazda CX5.

Jelas beliau, lelaki itu kemudian memberhentikan kereta akibat perselisihan faham lalu mengelar isterinya beberapa kali dengan pisau pemotong.

“Mangsa yang ketakutan kemudian keluar untuk meminta bantuan orang awam manakala suspek melarikan diri dengan kereta tersebut.

“Bertindak atas maklumat, kereta itu ditemukan di Jalan Batu Nilam dan suspek dalam keadaan tidak sedarkan diri sehingga cermin terpaksa dipecahkan anggota polis bagi menyelamatkannya,” katanya ketika dihubungi malam ini.

Hoong Foong memberitahu, lelaki berkenaan turut didapati dalam keadaan berlumuran darah dipercayai akibat mengelar tangannya sendiri.

“Pemeriksaan mendapati mangsa cedera di leher, bahu kiri, tangan, kaki dan belakang badan manakala suspek luka di kedua-dua tangannya. Pasangan berkenaan kemudian dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) dan dilaporkan stabil,” jelasnya.

Tambah beliau, kes itu disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan kecederaan dengan senjata. 

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menyalurkannya  kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di talian  03-33762222 atau balai polis berdekatan.

“Polis turut menasihatkan semua pihak tidak menyebarkan video kejadian itu bagi mengelak kegusaran kepada masyarakat setempat,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya