PETALING JAYA: Pelakon, Shah Radhi mendedahkan terpaksa mengulang penggambaran adegan dukung Sophia Albarakbah sebanyak 12 kali dalam filem Jiwa 8 Belas.
Shah atau Muhammad Shah Radhi Hazvee, 28, memaklumkan babak itu mencabar lebih-lebih lagi apabila terpaksa melakukan perkara itu dalam pendakian pada ketinggian 50 meter.
“Babak itu sangat mencabar kerana saya perlu mendaki bukit sebelum turun semula.
“Ketika penggambaran dilakukan saya baru berusia 23 tahun, badan pun belum cukup cergas dan tidak berotot.
“Sophia tidak berat, cuma keadaan tubuh dan juga beg yang saya pikul membuatkan adegan tersebut sedikit sukar,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.
Namun begitu, Shah kekal profesional membawakan watak Ishq walaupun harus melakonkan babak tersebut berulang kali ketika penggambaran yang dijalankan pada tahun 2018 itu.
“Dalam lakonan saya perlu tahu apa yang sepatutnya saya lakukan. Dalam babak itu, memang hanya Ishq yang boleh dukung dan selamatkan Atein (Sophia).
“Jika saya tidak jayakan adegan dukung Sophia, maka cerita itu tidak akan bergerak.
“Karakter saya juga sangat berat khususnya dari segi pembawaan emosi,” tambahnya.
Sementara itu, Shah mengakui jarang menerima tawaran berlakon drama bersiri gara-gara kontroversi yang melanda dirinya pada tahun 2020.
“Saya mahu berlakon drama tapi tiada tawaran yang datang. Mungkin mereka tak berani ambil saya atau tidak tahu saya ada.
“Saya harap pada tahun 2024 ini semua orang boleh terus memandang ke hadapan. Jika ada karakter yang sesuai, panggil sahaja saya berlakon.
“Dari segi kewangan saya sudah kukuh, saya cuma mahu berlakon kerana minat,” tambahnya.
Filem aksi ‘Jiwa 8 Belas’ arahan bersama S. Baldev Singh, Harvinder dan Arjinder akan ditayangkan di pawagam seluruh tanah air bermula 18 Januari 2024.