KPKM nafi kewujudan kartel tentu harga padi - Utusan Malaysia

KPKM nafi kewujudan kartel tentu harga padi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menafikan dakwaan kewujudan kartel atau mafia yang dikatakan bertindak menentukan harga padi di negara ini.

Menerusi satu kenyataan, KPKM berkata, pengeluaran sebanyak 39,000 pelbagai jenis lesen secara jelas menunjukkan tiada kewujudan kartel atau mafia yang didakwa mampu memonopoli industri padi dan beras.

Katanya, antara lesen-lesen yang dikeluarkan adalah meliputi Lesen Borong Beras, Lesen Eksport, Lesen Import, Lesen Kilang Padi, Lesen Membeli Padi, Lesen Beras Runcit, dan Kelulusan Khas Menjual Benih Padi bagi benih padi sah (BPS).

“Bagi BPS pula, KPKM telah memperuntukkan sebanyak 72,000 metrik tan benih padi sah bagi memenuhi keperluan pesawah untuk tahun lalu.

“Lesen pengilangan benih padi sah ini juga turut diberi kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi membekalkan benih padi kepada pesawah manakala pengesahan BPS melalui ujian makmal dilaksanakan oleh Jabatan Pertanian Malaysia,” katanya.

Kelmarin Utusan Malaysia melaporkan, kartel atau ‘mafia’ padi didakwa dimonopoli empat ke lima syarikat besar sejak sekian lama dan telah mencorak hala tuju industri padi negara sehingga tercetusnya isu benih padi yang berlarutan setiap musim serta masalah bekalan beras.

Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Gabungan Pengilang-Pengilang Beras Malaysia, Marzukhi Othman mendakwa, syarikat terlibat juga mempunyai kilang-kilang padi di bawah penguasaan mereka termasuk mengeluarkan benih.

Dakwa Marzukhi, kartel-kartel tersebut berperanan cukup besar yang menentukan harga padi, beras dan pembekal benih padi sehingga ada yang mengenepikan arahan kerajaan.

Sebelum ini, Utusan Malaysia juga pernah melaporkan kira-kira 71,000 pesawah dalam Kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) berdepan kerugian sehingga RM40 juta semusim jika mereka lewat mengusahakan sawah disebabkan tiada benih padi.

Di samping itu, KPKM berkata, satu pelaksanaan Task Force Operasi Benih Padi Sah (OP BPS) juga telah diadakan pada 7 hingga 21 November tahun lalu dalam memastikan semua peruncit menjual BPS mengikut harga ditetapkan kerajaan dan tiada sebarang unsur penyorokan.

“Sepanjang tempoh tersebut, KPKM telah menarik balik sebanyak 22 lesen penjualan benih padi sah milik peruncit yang melanggar syarat lesen,” katanya.

Dalam pada itu, KPKM turut memberi peringatan kepada semua pengilang, pemborong dan peruncit agar sentiasa mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan.

Katanya, kementerian itu tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan dalam isu tersebut.

“Tindakan tegas akan diambil seperti pembatalan lesen sekiranya didapati berlaku pelanggaran undang-undang.

“Pesawah dan pengguna dinasihatkan supaya menyalurkan aduan atau maklumat secara rasmi kepada kementerian atau Kawalselia Padi dan Beras (KPB) sekiranya terdapat sebarang pelanggaran undang-undang,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya