KPDN Perak tumpaskan sindiket seleweng diesel bersubsidi - Utusan Malaysia

KPDN Perak tumpaskan sindiket seleweng diesel bersubsidi

LORI 'bonded' yang mengandungi lima unit tangki IBC disyaki berisi minyak diesel disita selepas serbuan dijalankan KDPN Perak di Jalan Puncak Bougainvillea, Kuala Kangsar hari ini. - UTUSAN/IHSAN KPDN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KANGSAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menumpaskan sindiket penyelewengan diesel bersubsidi dianggarkan berjumlah RM44,575 dalam satu serbuan di Jalan Puncak Bougainvillea di sini, awal pagi tadi.

Serbuan melalui Op Tiris 3.0 pada pukul 2.45 pagi itu dijalankan selepas risikan mendapati terdapat aktiviti pembelian mencurigakan di sebuah stesen minyak di kawasan berkenaan.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, hasil pemeriksaan ke atas sebuah lori ‘bonded’ mendapati terdapat lima unit tangki IBC yang mengandungi cecair disyaki diesel.

Katanya, seorang lelaki berusia 48 tahun yang mengaku sebagai pemandu lori telah gagal mengemukakan sebarang dokumen melibatkan permit atau lesen barang kawalan apabila diminta.

“Lelaki itu mendakwa dia dibayar gaji oleh majikan untuk membeli minyak diesel di stesen minyak dan menunggu arahan selanjutnya bagi mengetahui destinasi penghantaran selepas selesai pembelian.

“Sitaan dilakukan terhadap lori berkenaan bersama lima unit tangki IBC berisi 4,500 liter cecair disyaki diesel, satu set pam dan dokumen berkaitan. Nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM44,575,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, pemandu lori warga tempatan itu juga ditahan untuk diambil keterangan.

“Tindakan juga diambil terhadap penguasaha stesen minyak kerana disyaki melanggar arahan pengawal bekalan iaitu membenarkan pembeli
membeli minyak dan memasukkan ke dalam selain tangki kenderaan.

“Siasatan juga dilakukan terhadap pengusaha stesen minyak kerana tidak mematuhi arahan pengawal bekalan mengenai penjualan minyak diesel melebihi 250 liter bagi satu transaksi,” katanya.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 1974. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya