Kenyataan Tun M sukar siasat PM, TPM  tidak berasas -  Pemerhati Rasuah Malaysia

Kenyataan Tun M sukar siasat PM, TPM  tidak berasas –  Pemerhati Rasuah Malaysia

DR. MAHATHIR MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa golongan paling sukar untuk disiasat adalah mereka yang memegang kuasa seperti Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), ternyata tersasar serta tidak berasas.

Setiausaha Agung Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Rosdi Amir berkata, pada tahun 2015 ketika Datuk Seri Najib Razak masih lagi menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri, SPRM telah memulakan siasatan terhadapnya dalam isu kemasukan wang bernilai RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadi beliau.

Katanya, penyiasatan SPRM bermula pada Julai 2015 rentetan daripada beberapa aduan awam dan liputan media masa dalam negara dan antarabangsa.

“Akhirnya, Datuk Seri Najib telah dibawa ke muka pengadilan dan setelah melalui prosiding yang sah beliau telah disabitkan serta dijatuhkan hukuman oleh mahkamah.

“Bukan setakat itu, pada Julai 2018, SPRM juga telah menyiasat Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bagi kes dana Yayasan Akalbudi. Walaupun Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kemudiannya melepas tanpa membebaskan (DNAA) daripada 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram, namun siasatan baharu tidak pernah diumumkan sebagai berakhir,” katanya.

Untuk rekod, Najib dan Ahmad Zahid dituduh di mahkamah selepas Pakatan Harapan (PH) yang ketika itu diterajui oleh Dr. Mahathir menubuhkan kerajaan selepas menumbangkan Barisan Nasional (BN) pada tahun 2018.

Kes Ahmad Zahid kemudiannya digugurkan apabila pihak pendakwaan memohon DNAA yang ketika itu Presiden UMNO tersebut dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri di bawah Kerajaan Perpaduan pada tahun lalu.

Mengulas lanjut, Rosdi berkata, pelbagai pihak termasuk menteri dan bekas menteri daripada pelbagai parti turut tidak terkecuali daripada disiasat oleh SPRM.

“Jika hendak disenaraikan, tidak keterlaluan dikatakan kita juga mungkin sudah ‘lost count’. Justeru di manakah dakwaan wujudnya selective investigation and prosecution (siasatan dan pendakwaan terpilih),” soalnya.

Beliau turut menyifatkan bahawa isu saham membabitkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki yang tidak disiasat merupakan satu tohmahan kerana siasatan telah pun dilakukan oleh sekurang-kurangnya enam badan dalaman, pemantau bebas serta agensi penguat kuasa termasuk PDRM dan Suruhanjaya Sekuriti.

Katanya, semua siasatan terhadap Azam mendapati tiada kesalahan telah dilakukan olehnya. 

“Hakikatnya, SPRM tidak pernah mempunyai dan melaksanakan polisi siasatan terpilih. Sesiapa sahaja yang menyebabkan kerugian atau ketirisan dana kerajaan atau awam akan disiasat. Tohmahan terhadap SPRM seumpama ini sudah menjadi satu kelaziman oleh pihak tertentu yang mempunyai agenda politik mahupun agenda lainnya,” katanya.

Justeru tegasnya, SPRM harus meneruskan siasatan kes-kes rasuah dan salah guna kuasa yang diadukan mengikut peruntukan undang-undang di bawah bidang kuasa agensi berkenaan tidak kira ia melibatkan orang awam, ahli politik atau orang kenamaan bergelar Tun.

“SPRM harus menjadi sebuah badan bebas yang diyakini oleh rakyat bagi menjadikannya profesional, relevan dan efisien,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN