PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) akan memantau Sistem Pengurusan Identiti (iDME) setiap jam bagi memastikannya berada dalam keadaan baik.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya juga menambah baik sistem itu dari semasa ke semasa supaya ia dapat digunakan sepenuhnya.
Beliau berkata, kementerian akan memastikan sistem itu dapat digunakan sepenuhnya bagi tujuan pentaksiran anak-anak di sekolah.
“Kita akan tambah baik sistem itu dari semasa ke semasa. Kita memang pantau setiap jam untuk memastikan ia berada dalam keadaan baik,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Amanat 2024 KPM di sini, semalam.
Beliau mengulas saranan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) yang mahu KPM melihat semula penggunaan sistem terbabit.
Semalam, Setiausaha Agung NUTP, Fouzi Singon berkata, pihaknya menerima keluhan daripada guru-guru yang mengakui amat tertekan dengan sistem terbabit.
Menurutnya, sistem itu seolah-olah tidak berfungsi walaupun ada guru menggunakan internet 500mbps dan ia masih lagi perlahan dan sukar menyelesaikan pengisian.
Sementara itu, mengulas gesaan pelbagai pihak supaya garis panduan Program Dwibahasa (DLP) disemak semula, Fadhlina berkata, isu terbabit tidak lagi berbangkit.
“Isu DLP ini kita tangani dari semasa ke semasa dan kita sudah beri penegasan kita. Maknanya setiap kali ditanya, kita kekal dengan keputusan kita, ada garis panduan yang perlu dipatuhi.
“Isu ini tidak berbangkit lagi dan bertepatan dengan hasrat kita untuk program memperkukuh bahasa Melayu dan mempertingkatkan bahasa Inggeris,” katanya.
Terdahulu, dalam ucapannya, Fadhlina berkata, inisiatif reformasi pendidikan telah dimulakan secara beransur-ansur.
“Dalam tidak sedar kita akan mengembalikan takwim persekolahan kepada Januari,” katanya.
Menurutnya lagi, inisiatif penambahan pengambilan guru baharu juga sangat signifikan kepada kementerian dalam usaha menampung keperluan.
“Sehingga Disember 2023 seramai 18,792 guru baharu tahun lalu dan Insya-Allah akan bertambah sebelum berakhir sesi 2023/2024,” katanya. – UTUSAN










