Keikhlasan kerjasama BN-PH bantu kekalkan Kerajaan Perpaduan - Utusan Malaysia

Keikhlasan kerjasama BN-PH bantu kekalkan Kerajaan Perpaduan

AHMAD Zahid Hamidi (empat dari kiri) dan pemimpin BN-PH pada Konvensyen Kerajaan Perpaduan Perak di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yakin Kerajaan Perpaduan akan kekal memerintah negara sehingga selepas Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).

Menurut beliau, keyakinan itu mampu direalisasikan sekiranya semua peringkat dalam kepimpinan parti-parti gabungan terus mempertahankan keikhlasan dan kesepakatan dalam pentadbiran.

“Keikhlasan ini yang mengikat kita pada ketika itu (pembentukan kerajaan Perpaduan). Saya sering mengingatkan diri bahawa untuk memperoleh kejayaan itu sukar, untuk pertahankannya juga lebih sukar.

“Jadi, kita jangan pernah sentiasa berada dalam zon selesa, (sebaliknya) mesti mempertahankannya. Saya yakin di bawah pimpinan Perdana Menteri dan dokongan ahli-ahli Parlimen, kerajaan ini akan terus kukuh di peringkat nasional dan negeri.

“Kalau ini semangat yang diperlihatkan oleh kepimpinan negeri, bahagian, kawasan dan akar umbi, insya-Allah pada PRU-16, PH dan BN akan menjadi kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen Kerajaan Perpaduan Peringkat Negeri Perak Tahun 2024 yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Konvensyen Casuarina di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar Perak yang juga Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Pengerusi PH Perak, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Sementara itu, Ahmad Zahid turut mengingatkan BN dan PH Perak untuk terus mempertahankan keikhlasan dan kesepakatan dalam pentadbiran negeri.

Katanya, keikhlasan yang ditunjukkan sebelum ini telah membuktikan BN dan PH mampu mengikat kerjasama termasuk memberi peluang kepada BN melantik Menteri Besar.

Begitupun katanya, keikhlasan itu harus diikuti dengan perundingan yang telus bagi mengelak berlakunya perebutan jawatan kalangan pemimpin parti.

“Kita adik-beradik, jadi berunding elok-elok. Insya-Allah, Datuk Seri Saarani Mohamad akan mempertahankan kerajaan Perpaduan ini di Perak.

“Pesanan saya kepada Pengerusi PH Perak (Datuk Seri Dr Mujahid Yusof), ingat pesanan abang, bahawa rezeki tidak pernah salah alamat. Asalkan terus ‘bercium mulut’ dengan Saarani, saya yakin kita dapat pertahankan (Kerajaan Perpaduan di Perak),” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut memuji pentadbiran kerajaan negeri Perak di bawah pimpinan Saarani apabila berjaya memperoleh kutipan hasil negeri sebanyak RM1.21 bilion yang merupakan angka tertinggi yang pernah direkodkan.

“Kutipan itu adalah pencapaian terbaik dan saya yakin Perdana Menteri selaku Ahli Parlimen Tambun akan membawa lebih banyak lagi projek pembangunan di Perak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya