BAGAI sirih pulang ke gagang. Bagai pinang pulang ke tampuk. Keberangkatan pulang raja rakyat dinanti kira-kira dua juta rakyat Pahang melerai rindu setelah lima tahun bertakhta di Persekutuan.
Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sudah mencatat sejarah figura hebat di tinta emas kenangan zaman berzaman.
Tokoh Warisan Orang Hidup Kebangsaan, Datuk Dr. Aripin Said berkata, baginda membawa pulang pengalaman berharga sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16.
Ujarnya, tidak ada bezanya baginda memayungi dan menaungi rakyat di mana-mana negeri sekali pun dalam Malaysia kerana mendapat sentuhan mesra sebagai Ketua Negara.
Baginda mendapat penghormatan daripada semua raja-raja Melayu yang memberi sokongan penuh di bawah pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16.
“Seluruh rakyat Pahang menanti keberangkatan pulang baginda dan selepas itu pastinya setiap masa bakal mencemar duli menziarahi rakyat di seluruh negeri ini.
“Perwatakan, kepimpinan dan kemesraan baginda meneruskan legasi raja-raja Pahang yang sentiasa menyantuni rakyat,” katanya.
Beliau berkata, Kembara Kenali Borneo Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong ke Sabah dan Sarawak menyerlahkan semangat jati rakyat menghayati lima prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara.
Jelasnya, lima prinsip dalam Rukun Negara jelas merupakan kunci kepada keharmonian dan perpaduan rakyat daripada pelbagai etnik dan kaum.
“Rakyat Sabah dan Sarawak telah mevariasikan prinsip Rukun Negara yang kelihatan indah, harmoni dan saling melengkapi dalam membina negara makmur dan sejahtera.
“Seri Paduka Baginda berdua termasuk anakanda baginda melayani rakyat tanpa mengira status yang teruja menunggu di panas mentari dan gerimis untuk menatap wajah baginda dari dekat,” katanya.
Menurutnya, sebagai anak jati Pahang, beliau berbangga kerana Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah Aminah Maimunah melayani dengan mesra setiap kerenah rakyat dan sentiasa tersenyum manis.
“Saling menyapa dan bertukar senyuman antara raja dan rakyat secara langsung mengukuhkan prinsip kedua Rukun Negara kesetiaan kepada raja dan negara,” katanya. – UTUSAN










