Kartel ugut pesawah tidak mahu beli benih padi

Kartel ugut pesawah tidak mahu beli benih padi

Kartel padi yang didakwa sudah lama menguasai industri padi negara berterusan menindas pesawah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kartel yang didakwa sudah lama menguasai industri padi negara berterusan menindas pesawah termasuk mengugut untuk tidak membeli semula benih padi jika tidak menggunakan benih padi dikeluarkan mereka.

Keadaan itu menyebabkan pesawah yang mahu meraih pendapatan lebih melalui penjualan benih padi terpaksa berputih mata apabila bekalan itu terbazir begitu sahaja.

Seorang pesawah yang enggan namanya disiarkan berkata, situasi itu dipercayai sudah lama terjadi sehingga menjadi amalan biasa ekoran tiada peraturan khusus mengenainya.

“Syarikat memberi alasan yang pelbagai antaranya mendakwa petani yang menjual benih kepada mereka tidak mengikut piawaian, benih padi tidak bermutu dan sebagainya.

“Maka diletakkan syarat kalau mahu jual benih padi kepada mereka kena beli benih padi di kilang mereka sejak awal ketika proses menanam yang menyebabkan petani terikat sehingga ke proses tuaian,” katanya.

Tambahnya, situasi itu dipercayai turut mendorong kepada manipulasi harga benih padi yang lebih tinggi berbanding harga subsidi.

“Sebab itu timbul masalah benih padi, ada yang jual RM50, RM60, RM70 sedangkan harga subsidi RM38 hingga RM45. Kartel ini sudah tentukan hala tuju industri sejak awal lagi,” katanya.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Persatuan Pengilang Beras Melayu Malaysia (PPBMM), Musonnef Md. Radzi turut tidak menolak kemungkinan itu terutamanya melibatkan pengilang bersaiz ‘gergasi’.

Katanya, ejen-ejen jualan benih padi juga dimiliki oleh pihak yang memiliki kilang memproses padi sehingga membentuk rantaian besar yang memonopoli industri padi negara.

“Padi beras mereka bolot semua sebab itu ada kilang-kilang kecil yang khususnya dimiliki pengusaha Melayu mati kerana tidak dapat bersaing secara sihat.

“Apatah lagi setiap biji benih padi amat berharga bagi pihak yang mengeluarkannya demi meraih subsidi berjumlah RM1,030 bagi setiap tan benih yang diluluskan Jabatan Pertanian,” katanya.

Mengulas lanjut, Musonnef berkata, kemungkinan juga benih padi yang tidak diterima pengilang itu berikutan varieti yang tidak sama dengan dihasilkan mereka.

“Mungkin benih padi yang dihasilkan petani itu dihasilkan sendiri oleh mereka dan berisiko ada penyakit jika dikomersialkan kepada pesawah lain yang menanam padi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN