KUALA TERENGGANU: Seorang pengusaha kuih tradisional Melayu di Terengganu mengambil inisiatif untuk mengolah sendiri resipi kuih bakul atau ‘Nian Gao’ bagi memenuhi permintaan pelanggan Muslim sejak lapan tahun lalu.
Rosidah Muda, 50, berkata, pada mulanya dia hanya menghasilkan 500 kuih bakul pada tahun 2016 untuk pelanggan setianya yang teringin merasai kuih tradisional masyarakat Tionghua itu.
“Saya tidak mengikut 100 peratus resipi asli kuih bakul sebaliknya mengolah semula agar ia tidak terlalu manis dan likat supaya memenuhi cita rasa orang Melayu.
“Tak sangka pula, maklum balas yang diterima amat positif dan sejak itu saya tidak menoleh ke belakang lagi untuk menjadikan kuih bakul sebagai sumber pendapatan sampingan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pelam di sini, semalam.
Ibu kepada tujuh anak itu menjual kuih bakul pada harga RM10 sebekas dan RM12 untuk bekas yang dibalut dengan daun pisang.
Rosidah memberitahu, pada setiap tahun, tempahan kuih yang diterima meningkat dan paling banyak jualan ialah RM20,000 setiap kali musim perayaan Tahun Baharu Cina.
“Kebanyakan pelanggan saya ialah orang Melayu yang sukakan kuih bakul dan masyarakat Tionghua yang ingin menghadiahkan kuih bakul kepada rakan mereka yang beragama Islam,” katanya.
Katanya, walaupun bahan yang digunakan untuk menghasilkan kuih bakul adalah mudah didapati iaitu tepung pulut dan gula, proses pembuatannya yang terlalu lama menyebabkan tidak ramai pengusaha kuih mahu membuatnya dalam skala yang besar. – UTUSAN











