Isu pencen: Penjawat awam dicadang carum Perkeso

Isu pencen: Penjawat awam dicadang carum Perkeso

ABDUL RAHMAN MOHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Manusia (KSM) mencadangkan supaya penjawat awam lantikan tetap tidak berpencen kelak akan turut mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) supaya kebajikan mereka dilindungi.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohammad berkata, cadangan itu penting bagi memastikan penjawat awam dilindungi terutama dari segi kebajikan dan kemudahan skim insurans pekerja.

Beliau berkata, kementerian menyarankan supaya cadangan itu dimasukkan sekali dalam kajian pelaksanaan sistem pengambilan baharu penjawat awam selain kemudahan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Saya hanya cadangkan, ia (cadangan) belum masuk dalam pakej yang sedang dalam kajian oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim lagi.

“Kalau betul ia (skim baharu penjawat awam) dilaksana kelak, maka kita akan bawa cadangan itu. Salah satu cadangan itu mestilah mencarum dalam Perkeso,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Geran Bantuan Kewangan Perkeso kepada institusi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) 2024, di sini hari ini.

Abdul Rahman berkata, menerusi caruman di Perkeso, setiap pekerja akan dilindungi jika terbabit kemalangan termasuk program untuk memulihkan mereka kembali bekerja.

“Jka tidak mampu bekerja sekali pun, mereka (pekerja) akan diberikan pencen ilat. Itu pun dikira pencen,” katanya.

Katanya, beliau faham bahawa isu pencen penjawat awam hangat diperkatakan kini, namun percaya Perdana Menteri tidak akan meletakkan rakyat dan pekerja terutama penjawat awam dalam kesusahan.

Minggu lalu, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam satu surat pekeliling bertarikh 15 Januari, menyatakan suatu kaedah baharu bagi lantikan tetap pegawai awam diperkenalkan ke arah mengukuhkan lagi Sistem Saraan Perkhidmatan Awam di Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya