Insiden pasangan jatuh Jambatan Pulau Pinang disiasat kes cubaan bunuh - Utusan Malaysia

Insiden pasangan jatuh Jambatan Pulau Pinang disiasat kes cubaan bunuh

KHAW Kok Chin (tengah) menyaksikan serah terima tugas jawatan V. Saravanan (kiri) dan Razlam Ab. Hamid (kanan) di IPD Timur Laut, George Town, Pulau Pinang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN : Polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu membabitkan kesalahan cubaan membunuh selepas wanita yang terjatuh dari Jambatan Pulau Pinang semalam mendakwa ditolak rakan lelakinya.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, semakan awal mendapati mangsa lelaki ialah seorang pegawai kanan polis yang berkhidmat di luar kontinjen Pulau Pinang dan rakan wanitanya pula bekerja di sebuah kilang di Pulau Pinang serta menetap di sini.

Jelas beliau, kedua-duanya selamat dalam insiden itu dan dipercayai berlaku pertengkaran sebelum mereka berhenti di lokasi kejadian.

“Menerusi siasatan awal, mangsa wanita mendakwa dia ditolak oleh lelaki tersebut lalu mangsa jatuh bersama,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menghadiri majlis serah terima tugas jawatan Ketua Polis Daerah Timur Laut di IPD Timur Laut.

Dalam majlis itu, Kok Chin menyaksikan serah terima tugas jawatan antara Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintenden V. Saravanan dan Asisten Komisioner Razlam Ab. Hamid.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.45 malam semalam, seorang wanita berusia 40 tahun dan seorang lelaki berusia 37 tahun dilaporkan  terjatuh ke dalam laut dari Jambatan Pulau Pinang di Kilometer (KM) 2.8.

TANGKAP layar video dua mangsa masing-masing seorang lelaki dan wanita yang terjatuh ke laut selepas dipercayai berlaku pertengkaran antara mereka di Jambatan Pulau Pinang, petang semalam. – SUMBER MEDIA SOSIAL

Pada masa sama, seorang orang awam yang berada di lokasi kejadian terus terjun untuk menyelamatkan mereka dan ketiga-tiga mereka telah diselamatkan serta dibawa oleh nelayan ke jeti pasukan polis marin di Batu Uban seterusnya di hantar ke hospital.

Menurut Kok Chin, setakat ni polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas kesalahan cubaan membunuh dan siasatan akan diteruskan dengan mendapatkan keterangan daripada saksi-saksi lain.

Katanya, mangsa lelaki masih di rawat hospital kerana mengalami kecederaan di bahagian kepala dan rakaman percakapan mangsa lelaki itu juga akan diambil.

Dalam pada itu, Kok Chin berkata, berdasarkan siasatan, pegawai kanan polis itu mempunyai satu kes jenayah yang masih dalam siasatan iaitu Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana memukul dalam kejadian di daerah Timur Laut, di sini baru-baru ini.

‘Kita akan dapatkan pengesahan dahulu daripada saksi-saksi lain (berkaitan dakwaan bertengkar dan ditolak), selepas itu baru kita putuskan sama ada mangsa lelaki akan direman atau tidak,” katanya.

Sementara itu, ditanya sama ada kedua-duanya adalah pasangan kekasih, Kok Chin berkata, perkara itu masih dalam siasatan lanjut.

“Mereka adalah rakan lelaki dan wanita, itu sahaja yang boleh saya cakap di sini,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya