Guru pengawas SPM maut kemalangan - Utusan Malaysia

Guru pengawas SPM maut kemalangan

KEADAAN pacuan empat roda dipandu Abd. Rashid Mohd. Nor remuk selepas terbabas di Kilometer 73, Jalan Jerangau-Jabor, berhampiran Bukit Besi, di Dungun, pagi tadi. - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN: Seorang guru Pendidikan Islam di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerangau maut selepas kenderaan dipandunya terbabas dalam kemalangan di Kilometer 73, Jalan Jerangau-Jabor, berhampiran Bukit Besi, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8 pagi, Abd. Rashid Mohd. Nor, 48, meninggal dunia di lokasi kejadian ekoran kecederaan di beberapa anggota badan.

Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat Bandar Al Muktaffi Billah Shah (AMBS), Penolong Penguasa Bomba, Sharifuddin Ali berkata,
pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 8.08 pagi sebelum menggerakkan 10 anggota ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi kejadian, kita dapati kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang dipandu mangsa telah tercampak ke dalam semak di kiri bahu jalan.

“Mangsa juga telah dihempap kenderaannya sendiri dan kami mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengeluarkan mangsa menggunakan alatan khas,” katanya
ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sharifuddin berkata, difahamkan ketika kejadian, mangsa yang merupakan pengawas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sedang dalam perjalanan dari SMK Jerangau ke SMK Padang Pulut.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan dan mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis sebelum dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN