Gerakan tukar kerajaan tidak jejas perancangan pembangunan negeri - Utusan Malaysia

Gerakan tukar kerajaan tidak jejas perancangan pembangunan negeri

SAARANI Mohamad dalam sidang akhbar selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian usahasama pembangunan Silver Valley Technology Park (SVTP) di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Perancangan pembangunan kerajaan negeri Perak tidak akan terjejas meskipun terdapat dakwaan berkaitan gerakan menukar kerajaan oleh pihak tertentu.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, keyakinan telah diberikan kepada pelabur bahawa pentadbiran kerajaan Perak dan keadaan politik negeri adalah stabil.

“Pertama sekali, saya telah yakinkan kepada semua pelabur bahawa negeri Perak ini stabil, politiknya juga stabil. Kita telah buktikan dalam tempoh satu tahun lebih di mana saya mempengerusikan mesyuarat Exco dan kita juga telah pun melancarkan Pelan Perak Sejahtera 2030.

“Apa yang kita rancang telah dibuktikan termasuk kemasukan Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd (Geely) di Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) dan Kesatuan Eropah (EU) di Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC).

“Ini bukti bahawa kita tidak retorik dan pelabur yakin dengan kerja kita. Apa-apa cabaran pun yang datang, akan kuatkan semangat kita, kita tidak akan mengalah. Jadi, pelabur tidak perlu bimbang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyaksikan Majlis Memeterai Perjanjian Usahasama antara Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) dan Perak Corporation Berhad serta Advancecon Holdings Berhad di Pusat Konvensyen Casuarina di Meru Raya di sini hari ini.

Pada majlis itu, PKNPk diwakili Ketua Eksekutif, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak manakala Perak Corporation Berhad pula diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Rosmin Mohamed dan Advancecon Holdings Berhad pula diwakili Datuk Phum Ang Kia selaku Ketua Pegawai Eksekutif.

Mengulas lanjut beliau berkata, sebagai pemimpin politik, sebarang usaha untuk menjejaskan keyakinan pelabur tidak seharusnya berlaku.

“Saya pun orang politik tapi pada waktu sama, saya mesti bertanggungjawab kepada negeri dan rakyat. Saya tidak akan buat sesuatu yang menyebabkan pelabur lari.

“Bab kemaruk (mahu menjatuhkan kerajaan) biarlah rakyat yang menilainya,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya