Gangguan air: Kerja ganti injap perlu siap dalam tempoh 24 jam - Utusan Malaysia

Gangguan air: Kerja ganti injap perlu siap dalam tempoh 24 jam

CHOW Kon Yeow (duduk,kiri) dan Pathmanathan meneliti injap yang akan ditukar di LRA Sungai Dua, Pulau Pinang, petang tadi. - Pix: SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUTTERWORTH: Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) diingatkan supaya menyiapkan kerja-kerja penggantian dua unit injap kawalan utama sebesar 1,200 milimeter (mm) di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua di sini, dalam tempoh 24 jam seperti yang diuar-uarkan sebelum ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, itu antara tiga senarai tugas utama yang perlu didahulukan oleh agensi terbabit bagi memastikan gangguan bekalan air yang dijadualkan bermula esok berjalan lancar.

“Kita juga mahu sasaran bekalan air kembali disalurkan mengikut empat peringkat seperti yang dihebahkan.

“Selain itu, pengguna perlu dimaklumkan mengenai kemajuan kerja pembaikan dan siarkan sekurang-kurangnya tiga (hantaran) menerusi media sosial setiap hari.

“Jika berlaku sebarang kesulitan atau kelewatan berhubung kerja pembaikan, laporkannya dengan telus supaya pengguna memperolehi maklumat dan perkembangan terkini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau permulaan kerja penukaran injap di LRA Sungai Dua, di sini petang tadi.

Yang hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Ir. K. Pathmanathan.

Sementara itu, Pathmanathan memberi jaminan kerja penggantian injap yang dijadualkan akan disiapkan tepat pada masanya.

“Faktor cuaca turut diambil kira dan kita dirikan ‘kem’ di lokasi supaya gerak kerja tidak terganggu walaupun semasa hujan.

“Selain itu, beberapa unit pam turut akan disediakan untuk mengeluarkan air yang bertakung di kawasan penyelenggaraan.

“Kita minta 24 jam, kita beri jaminan akan siapkannya dalam tempoh tersebut supaya pengguna kembali menerima bekalan air mengikut jadual ditetapkan,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan kira-kira 590,000 atau lebih 80 peratus penduduk Pulau Pinang akan berdepan gangguan bekalan air berjadual selama empat hari bermula 6 pagi esok bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembaikan di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua.

Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) memaklumkan sekurang-kurangnya 101 kawasan di daerah Seberang Perai Utara (SPU) dan Seberang Perai Tengah (SPT) dijangka menerima bekalan air selepas 48 jam, manakala 157 kawasan membabitkan daerah SPT, Seberang Perai Selatan (SPS) dan Timur Laut serta Barat Daya di kawasan pulau akan mula menerima bekalan air selepas 72 jam. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya