Fahmi setuju J-KOM dirombak, diselaras semula

Fahmi setuju J-KOM dirombak, diselaras semula

FAHMI Fadzil dalam sidang akhbar selepas mesyuarat Ka0binet di Kementerian Komunikasi, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA:  Kementerian Komunikasi bersetuju dengan cadangan supaya Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) dirombak bagi memastikan ia bergerak dengan modus operandi baharu.

Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, wujud keperluan untuk penyelarasan dilakukan terhadap fungsi dalam jabatan berkenaan pada masa depan.

Beliau berkata, pihaknya akui wujud perkara berbangkit mengenai fungsi J-KOM bagi memastikan ia selari dengan hasrat Kerajaan Madani.

“Bagaimanapun, masih terlalu awal untuk membuat pengumuman berkenaan perkara (rombakan dan penyelarasan J-KOM) berkenaan.

“Sebelum isu ini berbangkit memang saya sudah meneliti semula fungsi J-KOM dan melihat perlu ada penyesuaian beberapa fungsi tugas,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya, selepas ini, pihaknya akan mengubah modus operandi J-KOM, namun ia akan mengambil sedikit masa dan bergerak lebih positif selepas ini.

Media sebelum ini melaporkan, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi menggesa J-KOM dirombak secara menyeluruh selepas agensi itu mendakwa wujudnya ‘Langkah Dubai’ untuk menggulingkan kerajaan.

Dakwaan berkenaan disuarakan oleh Timbalan Ketua Pengarah J-KOM, Datuk Ismail Yusop bahawa wujud ‘Langkah Dubai’ ketika percutian pemimpin Perikatan Nasional (PN) di Emiriah Arab Bersatu (UAE) baru-baru ini.

Mengulas lanjut Fahmi berkata, beliau difahamkan kenyataan Ismail pada mulanya berasal daripada perbualan daripada Group Whatsapp yang disebarkan.

Sehubungan itu katanya, penyelarasan perlu dibuat bagi mengelak kejadian yang sama berulang semula.

Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata, kedudukan Digital Nasional Bhd (DNB) sama ada diletakkan di bawah Kementerian Komunikasi atau Kementerian Digital belum diputuskan dan masih dibincangkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya