Empat individu tawar pelaburan tidak wujud ditahan - Utusan Malaysia

Empat individu tawar pelaburan tidak wujud ditahan

MAZLI Mazlan (hadapan, kanan) bertukar cenderamata dengan Presiden Kawat, Ahmad Safri Husnaini Mohamad sebelum perlawanan bola sepak persahabatan antara pasukan PDRM dan Kawat di Gong Badak, Kuala Nerus, semalam. - UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Polis Terengganu menahan empat individu termasuk seorang wanita yang disyaki menawarkan pelaburan tidak wujud membabitkan jumlah kerugian lebih RM460,000.

Ketua Polis negeri, Datuk Mazli Mazlan, berkata, keempat-empat mereka ditahan menerusi Op Nuri pada Sabtu lalu setelah pihaknya menerima 12 laporan berhubung kegiatan tersebut.

Menurutnya, siasatan awal mendapati individu berkenaan menipu mangsa dengan menawarkan pakej pelaburan bermodalkan RM300 sehingga RM30,000 melalui aplikasi Telegram.

Katanya, mereka menipu mangsa apabila menyatakan syarikat mereka memiliki rangkaian perniagaan di Malaysia, Brunei dan Indonesia selain tersenarai di Bursa Malaysia dengan aset RM3 bilion.

“Mangsa dijanjikan keuntungan berlipat kali ganda antara tiga sehingga enam peratus dalam masa beberapa jam setelah kononnya dilaburkan untuk perniagaan rokok kretek dan pembinaan.

“Mangsa yang tertarik kemudian diminta membuat bayaran deposit pertama sebelum melakukan penambahan bayaran sehingga enam transaksi ke dalam lima akaun berbeza.

“Kegiatan itu menyebabkan kerugian RM460,179 kepada beberapa mangsa dan tiga kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK) kerana menipu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas perlawanan bola sepak persahabatan antara pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Persatuan Wartawan dan Media Terengganu (Kawat) di Gong Badak di sini, semalam.

Tambah Mazli, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Terengganu merekodkan 393 laporan polis sejak 1 sehingga 27 Januari tahun ini melibatkan kerugian keseluruhan lebih RM1.4 juta.

Beliau berkata, daripada jumlah itu 93 kertas siasatan telah dibuka dengan kes paling banyak dilaporkan antaranya pelaburan tidak wujud, peluang pekerjaan palsu, ‘love scam’ dan ‘Macau scam’.

Ujarnya, pihak polis juga tidak menolak kemungkinan dalang kegiatan ini sudah lama mengkaji dan menyasarkan mangsa yang terdiri daripada pesara, peniaga serta golongan profesional.

“Jenayah komersial di negeri ini masih tinggi selepas 1,237 kes dilaporkan pada 2023 dan meskipun menurun berbanding 1,311 kes tahun sebelumnya, jumlah kerugian naik daripada RM24.3 juta kepada RM33.3 juta,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya