Elak makanan segera yang menjadi punca kanser

Elak makanan segera yang menjadi punca kanser

KERATAN laporan Utusan Malaysia berhubung jumlah pakar onkologi yang perlu ditambah untuk mengimbangi rawatan penyakit kanser di negara ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Orang ramai perlu mengelak daripada mengambil makanan segera secara kerap kerana ia adalah antara punca berlakunya kanser.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pakar perubatan kesihatan awam Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, makanan seperti mi, snek dan minuman segera mengandungi karsinogen yang tidak elok untuk kesihatan.

Katanya, bahan kimia tersebut digunakan dalam kebanyakan makanan segera bagi memberi ketahanan jangka hayat agar tahan lebih lama selain mengekalkan rasa sedap.

“Makanan segera adalah antara penyebab utama menyumbang kepada mutasi sel badan normal untuk berubah menjadi sel kanser,” katanya ketika dihubungi semalam.

Katanya, cara pencegahan terbaik adalah dengan mengelak faktor risiko iaitu mengekalkan cara hidup sihat melalui pemakanan seperti tidak mengambil makanan segera selain rokok dan alkohol.

“Kanser mempunyai beberapa faktor risiko, antaranya kerana pemakanan tidak sihat, kurang pergerakan aktif dan obesiti serta merokok dan minum alkohol.

“Stres kronik juga meningkatkan risiko kanser, jadi elakkan stres yang keterlaluan,” katanya.

Sebelum ini, akhbar ini melaporkan, jumlah pakar onkologi perlu ditambah
sekurang-kurangnya dua atau tiga kali ganda kerana bidang yang berbeza memerlukan pakar yang mahir untuk merawat penyakit kanser di negara ini.

Menurut Statistik Kanser Global 2020 (Globocan 2020), sebanyak 128,018 kes kanser dilaporkan di Malaysia dalam tempoh lima tahun dengan 54,044 kes melibatkan lelaki dan 73,974 adalah wanita.

Dalam pada itu, Sharifa Ezat berkata, faktor pertumbuhan sel kanser bergantung kepada risiko tertentu dan organ berkaitan namun pendedahan umum seperti persekitaran tidak sihat juga boleh menjadi punca.

Katanya, perkembangan sel kanser adalah berbahaya di semua bahagian organ terutama bagi yang mempunyai banyak salur darah kerana boleh menular ke organ lain seperti tulang belakang, hati, payudara dan otak.

“Tidak ada cara untuk berhentikan trigger sel kanser itu secara terus tetapi risiko boleh dikurangkan.

“Ini termasuk menurunkan stres diri, kerana stres menurunkan sistem imun badan sehingga tidak dapat melawan penyakit dan sel kanser,” katanya.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×