Dua lagi institusi pendidikan dibina di Bagan Datuk - Utusan Malaysia

Dua lagi institusi pendidikan dibina di Bagan Datuk

AHMAD Zahid Hamidi merasmikan Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Tuminah Hamidi di Sungai Balai di Bagan Datuk hari ini. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK: Daerah Bagan Datuk terus dibangunkan sebagai pusat ilmu dengan penambahan dua lagi institusi pendidikan berbanding empat sekarang, sebelum berakhir tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamid berkata, ia selari dengan pembangunan ekonomi yang sedang dan akan dilaksanakan di daerah tersebut.

Ketika ini, empat institusi pendidikan yang sudah sedia ada di daerah itu ialah Politeknik Bagan Datuk, Sekolah Menengah Sains Bagan Datuk (SABDA), Sekolah Menengah Sains Teluk Intan (SEMESTI) dan Maktab Rendah Sains Mara Bagan Datuk (MABDA).

“Sekarang sudah ada empat institusi pendidikan, dijangka dalam tempoh akhir RMK-12 (2025) , akan ada dua penambahan institusi pendidikan lagi, jadi insya-Allah akan ada enam institusi pendidikan di sini,” jelas Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Tuminah Hamidi di Sungai Balai, dekat sini hari ini.

Ahmad Zahid bagaimanapun tidak menyebut nama dua institusi pendidikan awam itu.

Dalam pada itu, kompleks SM Imtiaz Tuminah Hamidi itu yang turut melibatkan pembinaan sebuah masjid dan asrama, boleh menempatkan antara 400 hingga 500 pelajar pada satu-satu masa, dengan tempoh pembinaan dijangka siap kira-kira 30 bulan daripada sekarang.

Jelas beliau, ia adalah SM Imtiaz kedua dibina di bawah yayasan milik keluarganya iaitu Yayasan Al-Falah, selepas di Melaka, yang berjaya melahirkan huffaz profesional dengan ramai daripadanya kini menuntut di universiti terkemuka di luar negara.

Dalam ucapannya pula, Ahmad Zahid turut berhasrat membangunkan sebuah pusat tahfiz antarabangsa, tidak jauh dari pekan Bagan Datuk, menggunakan dana Yayasan Akalbudi, bagi menarik kehadiran pelajar antarabangsa ke daerah tersebut untuk menimba ilmu al-Quran dan dakwah.

Beliau memberitahu, dana Yayasan Akalbudi yang dibekukan sebelum ini kerana kes mahkamahnya, dijangka dicairkan semula dan dipulangkan kepada beliau sebagai pemegang amanah yayasan itu, dalam tempoh terdekat.

Pada majlis penyerahan kunci enam unit rumah baharu kepada mangsa kebakaran di Bagan Ikan, dekat sini pula, Ahmad Zahid mengumumkan dua pelaburan besar akan dilaksanakan di Bagan Datuk.

Menurut beliau, ia melibatkan sebuah syarikat dari Turkiye yang berhasrat membina sebuah limbungan membuat kapal manakala sebuah syarikat permotoran tempatan terkemuka, berminat mendirikan kilang membuat lori.

Ujarnya, pelaksanaan kedua-dua projek tersebut membolehkan anak dan penduduk Bagan Datuk memperolehi peluang pekerjaan sekali gus mengelakkan penghijrahan terutama golongan muda berkemahiran keluar dari daerah tersebut.

“Kita tidak mahu lagi penduduk tempatan yang mempunyai pendidikan bekerja di luar dan hanya balik sekali sekala ke sini.

“Kita mahu orang muda tempatan bekerja di sini, membeli rumah di sini dan seterusnya membantu keluarga dan ibu bapa mereka di sini,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya